Tragedi berdarah Lahad Datu masih segar dalam ingatan penduduk

Biarpun telah lama berlalu, namun tragedi berdarah 1 Mac yang mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh dan 68 pengganas Sulu maut, masih segar dalam ingatan penduduk.
Biarpun telah lama berlalu, namun tragedi berdarah 1 Mac yang mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh dan 68 pengganas Sulu maut, masih segar dalam ingatan penduduk.
A
A
A

LAHAD DATU - Februari ini, genap 11 tahun peristiwa pencerobohan pengganas bersenjata Sulu memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu yang membawa kepada pertempuran di Kampung Tanduo.

Biarpun telah lama berlalu, namun tragedi berdarah 1 Mac yang mengakibatkan 10 perwira negara terbunuh dan 68 pengganas Sulu maut, masih segar dalam ingatan penduduk menjadikan mereka kadangkala risau untuk keluar rumah terutama pada waktu malam.

Bagaimanapun kehadiran pasukan keselamatan daripada Eastern Sabah Security Command (ESSCom) yang sentiasa membuat rondaan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) memberi keyakinan keselamatan dan perlahan-lahan merawat trauma yang dialami oleh kalangan penduduk di Lahad Datu.

Seorang peniaga Mariam Razak, 56, dari Kampung Long Danau di sini berkata, pasukan keselamatan bukan sahaja meronda bagi menjaga keselamatan malah menjalin hubungan erat dengan penduduk kampung dalam usaha mengekalkan keamanan di kawasan itu.

Beliau berkata, dengan kehadiran pihak berkuasa yang sentiasa menjaga keselamatan perairan, penduduk juga lebih yakin untuk keluar mencari rezeki terutama dalam kalangan nelayan.

"Kampung ini berdekatan dengan sungai yang menjadi laluan penduduk kampung menangkap ikan. Kita bersyukur pasukan keselamatan sentiasa memantau keselamatan kampung.

"Kami amat berharap agar kehadiran pasukan keselamatan ini berterusan untuk menjamin keselamatan penduduk kampung dan mengurangkan masalah sosial dalam kalangan remaja,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Seorang lagi peniaga Hasmah Baji, 49, berkata, beberapa bulan selepas tragedi Tanduo dia mengalami trauma yang teruk sehingga tidak mampu untuk mendengar mahupun membaca sebarang berita berkenaan peristiwa itu.

Artikel Berkaitan:

"Tragedi Tanduo bagi saya sangat dahsyat, namun kita berasa bersyukur kerana pihak kerajaan ketika itu cepat bertindak. Syukur sekarang sudah aman dan penduduk boleh menjalankan aktiviti seperti biasa dengan kehadiran pasukan keselamatan ESSCom,” katanya.

ESSCom, katanya, bukan hanya menjalankan tanggungjawab menjaga keamanan tetapi turut bekerjasama dengan penduduk kampung dengan mengadakan pelbagai aktiviti secara bersama bagi mengeratkan hubungan dua pihak.

"Kerjasama antara pasukan keselamatan dan penduduk kampung sememangnya perlu kerana secara tidak langsung menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan,” katanya.

Abd Hamid Abd Rasid, 60, yang juga seorang peniaga berkata, walaupun keadaan bandar Lahad Datu sunyi pada waktu malam, namun dia tidak risau kerana yakin dengan kecekapan pihak berkuasa.

Menurutnya kehadiran pelancong bukan sahaja dari dalam negara, malah pelancong antarabangsa juga meningkat ke kawasan itu, memberikan semangat kepada penduduk untuk memanjangkan waktu beroperasi sekali gus menambahkan lagi rezeki peniaga.

Sehubungan itu, beliau amat berterima kasih kepada kerajaan kerana masih berterusan menempatkan ESSCom di Lahad Datu yang bukan sahaja menjamin kesejahteraan penduduk tetapi juga keselamatan pelancong. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!