MPKP beri amaran jangan jual tapak Karnival Aidilfitri
![Badrulhisham](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/02/13/2536042.jpg)
KUBANG PASU - Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) memberi amaran kepada peniaga-peniaga yang membida tapak Karnival Aidilfitri 2024 agar tidak menjual tapak yang diperoleh kepada pihak lain.
Yang Dipertua MPKP, Badrulhisham Sulaiman berkata, MPKP akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bermula hari pertama Karnival Aidilfitri berkenaan beroperasi.
Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada peniaga yang dikenal pasti melakukan kesalahan terbabit.
"Saya beri amaran kepada peniaga, sekiranya kita dapati ada yang menjual tapak, kita akan senarai hitamkan peniaga terbabit dan menarik semula tapak yang diperolehi," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan Daerah Kubang Pasu 2035 di Dewan Tunku Anum pada Selasa.
Menurutnya, MPKP mengalu-alukan aduan daripada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan tapak oleh peniaga.
"Kita tak mahu menindas peniaga yang betul-betul mahu berniaga, tetapi tak berjaya dapat tapak," katanya.
Jelasnya, peniaga diharap dapat menjana keuntungan pada tahun ini memandangkan tapak bazar diperolehi dengan harga yang murah.
"Selain itu kita juga harap peniaga dan pengunjung dapat menjaga kebersihan tapak Karnival Aidilfitri 2024.
"Kita anggarkan karnival di hadapan Pasaraya Yawata, Jitra akan jadi tumpuan pengunjung dengan jumlah tapak sebanyak 39 tapak 20x20 dan 19 tapak 10x10," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!