Telur dari zaman Rom didapati masih mengandungi cecair

Sebuah bakul anyaman yang ditemui mengandungi roti dan juga telur - Foto: Oxford Archaeology
Sebuah bakul anyaman yang ditemui mengandungi roti dan juga telur - Foto: Oxford Archaeology
A
A
A

LONDON - Sebiji telur dari zaman Rom yang dijumpai beberapa tahun lalu di bandar Aylesbury, England didapati masih mengandungi cecair, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pengurus ekskavasi di Oxford Archaeology, Edward Biddulph mengesahkan perkara berkenaan dan beliau yakin bahawa ia putih telur dan kuning telur yang telah bergabung membentuk satu cecair.

Imbasan tomografi berkomputer (CT scan) menunjukkan terdapat cecair beserta gelembung udara.

Imbasan itu dilakukan beberapa bulan lalu untuk menjelaskan bagaimana telur kemungkinan dari ayam boleh diawetkan dengan baik.

Telur itu dilaporkan dijumpai di dalam lubang berisi air dan mungkin digunakan untuk tujuan keagamaan antara 270 dan 300 Masihi.

Telur lain yang turut ditemukan di lokasi sama, pecah selepas terdedah kepada udara.

"Telur itu mempunyai potensi penyelidikan yang besar," kata Biddulph.

Telur itu menimbulkan persoalan bagaimana ia boleh bertahan untuk jangka masa yang lama, termasuk dari segi baka ayam, pemeliharaan serta kegunaan ayam dan burung pada zaman Rom.

Artikel Berkaitan:

Selain telur, bakul yang jarang dijumpai turut ditemukan semasa penggalian antara 2007 dan 2016. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!