Kertas kerja cadangan LRT Pulau Pinang tunggu kelulusan Kabinet
BUKIT MERTAJAM - Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam proses membentangkan kertas kerja cadangan pelaksanaan transit aliran ringan (LRT) Bayan Lepas serta jajaran tambahan baharu Komtar ke Penang Sentral bagi mendapatkan kelulusan mesyuarat Jemaah Menteri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam pertemuan dengan syarikat berkenaan beberapa minggu lalu, pihak MRT Corp memberi maklum balas berhubung kajian berkenaan projek LRT terbabit.
"Mereka sudah membentang dan memberi maklum balas akan kedudukan terkini berhubung usaha yang telah dijalankan.
“Mereka ada maklumkan untuk tindakan selanjutnya memerlukan pembentangan kertas Kabinet untuk mendapat lampu hijau (green light) daripada Jemaah Menteri bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil mengikut perancangan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan kajian berkenaan projek LRT di negeri itu.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DAP Pulau Pinang di Bukit Mertajam, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang berkata, pihaknya turut berkongsi pandangan menerusi sesi perbincangan yang sudah dijalankan sebelum ini.
“Sebelum ini, kita sudah umumkan MRT Corp telah melantik perunding bagi membuat kajian berhubung jajaran projek LRT yang disempurnakan oleh SRS Consortium Sdn. Bhd.
“Januari lalu, rakan pelaksana projek (PDP) kerajaan negeri memberi kata putus dan reaksi terhadap jajaran yang kita sudah cadangkan.
“Semua perincian ini termasuk lokasi depoh dan sebagainya akan dimasukkan dalam kertas bagi membolehkan kita memperoleh hala tuju seterusnya,” katanya.
Beliau berkata, terdapat perubahan rancangan susulan stesen yang sepatutnya berakhir di Komtar dipanjangkan sehingga Penang Sentral.
“Kelainan itu ada sebab cadangan asal kita berakhir di Komtar, tapi MET Corp bawa ‘line’ itu ke Penang Sentral, kiranya itu tambahan.
“Ia akan merentasi laut dan kita akan perhalusi serta mengambil kira isu-isu teknikal bagi memastikan pembinaan berjalan lancar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!