Negeri Sembilan wajibkan guna malim gunung di 3 lokasi pendakian
SEREMBAN - Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan akan mewajibkan penggunaan khidmat malim gunung di tiga lokasi pendakian berisiko di negeri ini yang dijangka dikuatkuasakan pada Jun depan.
Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Hamidi Abd Halim berkata, tiga kawasan pendakian tersebut ialah Gunung Berembun, Gunung Besar Hantu dan Trans Naning.
"Kita telah tetapkan untuk tiga lokasi pendakian itu diwajibkan kepada pendaki untuk mendapatkan khidmat malim gunung kerana ia penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
"Ia akan membabitkan malim gunung yang mempunyai pengalaman, kemahiran serta telah mendapatkan kursus dengan pihak Jabatan Perhutanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Ujarnya, pihaknya sedang memperhalusi syarat, kaedah dan mekanisme bersesuaian serta terbaik dengan persatuan berkenaan termasuk agensi bertanggungjawab bagi membolehkan golongan pendaki menempah dan mendapatkan perkhidmatan malim gunung ini.
"Setakat ini terdapat kira-kira 120 orang malim gunung perhutanan yang berdaftar dengan Persatuan Malim Gunung Perhutanan Cawangan Negeri Sembilan.
"Sebaik selesai hal berkaitan, kita akan umumkan kepada orang ramai sekali gus membolehkan pencinta alam serta pendaki untuk meneruskan aktiviti mereka di gunung terlibat," katanya.
Sementara itu dalam perkembangan berlainan, Hamidi berkata, kesemua trek pendakian di negeri ini telah kembali dibuka kepada pendaki kecuali tiga kawasan pendakian tersebut.
"Di tiga trek pendakian itu, pihak kami bersama bantuan pihak persatuan malim gunung dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang melihat semula laluan pendakian terutama dalam aspek keselamatan selain memastikan trek turut dibersihkan daripada semak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!