Mangsa lemas terakhir berjaya ditemukan
LUMUT - Mayat terakhir remaja lelaki dilaporkan hilang di Sungai Sempit, Tanjung Batu, Segari, di sini ditemukan pada jarak 100 meter dari lokasi terakhir mangsa mandi bersama dua rakannya pada Selasa.
Mayat T Eishwarpillai, 16, ditemukan terapung oleh pasukan penyelamat sekitar jam 5.05 petang ketika air pasang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditutup sekitar jam 5.30 petang selepas berjaya menemukan mayat ketiga itu.
"Pasukan berjaya mengapungkan jasad mangsa dengan teknik olakan air menggunakan bot ketika air pasang.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.
Media melaporkan tiga remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika melakukan aktiviti memancing dan mandi di muara Sungai Sempit, Segari di sini pada Isnin.
Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 petang.
Terdahulu, mayat pertama, Chew Darumaraj, 14, ditemukan pada jam 9.05 pagi manakala G Sarath, 16, dijumpai tersangkut pada jaring nelayan pada jam 12.40 tengah hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!