Jho Low sering guna pengaruh, mahu dilihat sebagai proksi Najib - Jasmine Loo

Jho Low sering menggunakan pengaruhnya sebagai orang yang rapat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jho Low sering menggunakan pengaruhnya sebagai orang yang rapat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low sering menggunakan pengaruhnya sebagai orang yang rapat dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mahu pihak pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melihat dirinya sebagai proksi kepada bekas perdana menteri itu.

Bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata kebanyakan perkara-perkara beşar yang memerlukan kelulusan perdana menteri perlu dibincangkan dahulu dengan Jho Low sebelum dibawa kepada Najib yang ketika itu merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

"Secara lazimnya, untuk mendapatkan tandatangan semua pihak terlibat adalah tanggungjawab setiausaha syarikat dan ketua pegawai eksekutif, namun bagi dokumen berkaitan dengan pelaburan 1MDB, ia akan disediakan oleh saya dan diserah kepada Jho Low untuk mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib.

"Kadangkala Jho Low akan meminta saya menyediakan dokumen syarikat yang memerlukan tandatangan Datuk Seri Najib. Setelah saya menyerahkan dokumen-dokumen itu, saya tidak tahu bagaimana Jho Low mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib.

"Saya juga ingin menyatakan bahawa sepanjang saya berkhidmat di 1MDB, saya cuma berjumpa Datuk Seri Najib dalam acara atau mesyuarat 1MDB secara beramai-ramai bersama pihak pengurusan, tetapi saya tidak pernah bersemuka secara bersendirian atau secara terus dengan beliau untuk sebarang urusan berkaitan syarikat," katanya.

Saksi pendakwaan ke-50 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 63 muka surat semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.

Sebelum itu, Jasmine Loo berkata, kebiasaannya di 1MDB, apabila pihak pengurusan perlu menandatangani sebarang resolusi pekeliling pengarah, mereka akan diserahkan dua dokumen iaitu Special Rights Redeemable Preference Shareholder in Writing (SRRP) dan Minutes by Representative of Holding Company Relating to Proceedings of Subsidiary Pursuant to Section 147(6) of Companies Act (MR) yang telah ditandatangan Najib mengenai sebarang keputusan berkaitan pelaburan dan kewangan 1MDB.

"Saya percaya ini adalah kerana terdapat satu terma dalam Memorandum & Articles of Association 1MDB (Artikel 117) yang khas, persetujuan Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri diperlukan untuk projek yang besar dan penting yang akan membawa implikasi kewangan kepada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Lembaga Pengarah akan bersetuju dengan keputusan Datuk Seri Najib kerana amalan di 1MDB diuruskan secara 'Top Down Approach'," katanya.

Selain itu, Jasmine Loo berkata, ia juga kerana Najib adalah wakil pemegang saham tunggal 1MDB dan ahli lembaga pengarah akan mengikut kehendak pemegang saham, dan dalam kes 1MDB, ia adalah Kementerian Kewangan Diperbadankan yang diwakili Najib selaku Menteri Kewangan.

"Oleh kerana Datuk Seri Najib adalah orang yang menjawat kesemua jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan juga wakil Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.), maka SRRP & MR dikira sebagai kelulusan oleh Datuk Seri Najib atas semua jawatan beliau," katanya.

Pada 16 November tahun lepas, mahkamah mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-48 iaitu Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram ACP Foo Wei Min yang memaklumkan bahawa Loo adalah saksi penting dan akan mendedahkan semua isu berkaitan Tanore Finance Corporation, entiti yang memindahkan wang AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!