Polis tahan 11 lelaki, wanita bergaduh dalam premis

Polis menahan sekumpulan lelaki dan wanita bergaduh dalam sebuah premis di Taman Sutera, Skudai di Johor Bahru pada Ahad malam. (Gambar kecil: Belveer Singh) - Gambar hiasan
Polis menahan sekumpulan lelaki dan wanita bergaduh dalam sebuah premis di Taman Sutera, Skudai di Johor Bahru pada Ahad malam. (Gambar kecil: Belveer Singh) - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perselisihan faham menjadi punca sekumpulan lelaki dan wanita bergaduh dalam sebuah premis di Taman Sutera, Skudai di sini pada Ahad malam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Belveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian pada jam 12.05 tengah malam itu melibatkan 11 suspek lelaki dan wanita berusia antara 22 sehingga 33 tahun.

Menurutnya, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara mengetahui kejadian itu menerusi satu video berdurasi tiga minit dua saat yang tular dalam media sosial.

"Susulan laporan kejadian itu anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Johor Bahru Utara dibantu anggota dari Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah menahan 11 suspek tersebut pada hari yang sama.

"Semua suspek dibenarkan tahanan reman pertama selama tiga hari mulai Ahad sehingga hari ini manakala tahanan reman kedua dibenarkan sehari sehingga esok," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak polis katanya, menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut agar menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Masrain Aman menerusi talian 013-8543148.

"Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam dan menyerahkannya kepada pihak polis," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!