Kekalahan lalu jadi pembakar semangat
SHAH ALAM - Kekalahan lalu menjadi pembakar semangat kepada seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin, Perak, Diana Bahari bersama pelajarnya untuk bangkit semula, sekali gus meraih tempat pertama dalam pertandingan video pendek sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) #RasuahBusters 2023.
Menurut, kumpulannya mengambil masa selama empat hari untuk berbincang dan mencari idea menarik bagi menghasilkan video pendek yang menerapkan elemen antirasuah kepada penonton.
“Sebelum ini kami ada masuk banyak pertandingan antaranya pertandingan membuang sampah tetapi tidak dinobatkan sebagai pemenang.
“Bertitik tolak dari situ, kami cuba menambah baik video dengan melihat hasil pemenang lain di Youtube. Dari situ, kami belajar dan membaiki kesilapan kami yang lalu,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video HARA 2023 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.
Video yang dicipta Diana itu mengungguli tempat pertama dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,500 manakala tempat kedua dimenangi Khairul Aizat Abdul Rahman yang menerima RM1,000 menyentuh mengenai rasuah dalam membuat lesen kenderaan.
Seterusnya, lakonan pemberi rasuah untuk dapatkan tender projek oleh Muhammad Najmi Aiman Nordin berjaya mendapat tempat ketiga dengan mambawa pulang RM700.
Berkongsi cerita di sebalik pembuatan video berkenaan, Diana berkata, ia dihasilkan secara berpasukan bagi menghasilkan output terbaik.
“Melalui pertandingan video pendek ‘Bersatu Menentang Korupsi’ ini, kami cuba buat yang terbaik dengan menyusun susun papan cerita.
"Semua ahli dalam pasukan juga sama-sama berbincang, memberi input dan pandangan untuk cerita tersebut,” tambahnya.
Dalam pada itu, Diana berkata, dia tidak menyangka penyertaan kali pertama dalam program itu dapat meletakkan mereka sebagai johan susulan ia melibatkan lebih daripada 70 peserta.
“Di peringkat kebangsaan bagi pertandingan terbuka seperti ini, buat pertama kali kami dinobatkan sebagai juara.
“Jika ada lagi pertandingan seperti ini lagi kami akan menyertainya bagi mencungkil bakat dan ilmu sekali gus memberi nasihat kepada orang awam,” ujarnya.
Pertandingan video tersebut merupakan satu lagi usaha #RasuahBusters bersama rakan-rakan gabungannya seperti Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Malaysia Association of Muslim Finance Professionals (MFP) dan Ajar Demokrasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!