Penulisan satu terapi, ahli Kabinet Sabah aktif tulis lirik

Mohd Ariffin (tiga dari kiri) menerima cenderahati daripada Daqmie.
Mohd Ariffin (tiga dari kiri) menerima cenderahati daripada Daqmie.
A
A
A

KESIBUKAN tugas sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah tidak menghalang Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif untuk menghasilkan karya menerusi penulisan lirik.

Menyifatkan penulisan sebagai satu bentuk terapi, Mohd Ariffin yang menggunakan nama pena Mawar Arif dan Abu Sofia menjadi antara penulis lirik dalam album terbaru penyanyi Daqmie berjudul Ramadan 1445.

“Saya memang minat menulis sejak dibangku sekolah dan pernah menghasilkan tiga antologi puisi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Saya anggap penulisan adalah terapi dan sekurang-kurang dengan penulisan, kita boleh terjemahkan emosi dalam karya.

“Karya juga adalah wadah dakwah, ia sekali gus menjadi ibadah bukan saja di dunia tapi akhirat,” ujarnya.

Mohd Ariffin berkata demikian selepas melancarkan album Ramadan 1445 di sebuah restoran di Jalan Tanglin, pada Selasa.

Album berkenaan turut menampilkan kerjasama antara Daqmie dengan kumpulan Rabbani dan kumpulan Syahmura dari Sabah.

Berkongsi kerjasamanya dengan Daqmie, Mohd Ariffin berkata, hasil pertemuannya dengan penyanyi dan penulis lirik lagu hits Casablanca itu di sebuah program tulisan kaligrafi di Sabah mencetuskan ruang kolaborasi.

Artikel Berkaitan:

“Lagu ini kemudiannya diberi nafas baru sebelum dimuatkan dalam album itu,” jelasnya yang pernah bekerjasama dengan Datuk Ramli Sarip dan Camelia.

Mohd Ariffin turut menzahirkan ucapan terima kasih buat Daqmie yang juga komposer lagu itu kerana sudi menjalin kerjasama.

“Saya bersyukur kerana Daqmie sudi membantu agar nasyid dapat terus memperkasa seni budaya Islam di negeri ini.

“Apa yang paling penting adalah untuk menggilap bakat anak Sabah dalam bidang seni kerana ramai yang berbakat, cuma tinggal untuk digilap dan dibangunkan saja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!