KPKT sasar bina 50 taman rekreasi awam setiap tahun

Kor Ming (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan pembangunan taman rekreasi awam di Taman Woodland di Bandar Baru Tambun pada Selasa.
Kor Ming (dua dari kanan) ketika meninjau keadaan pembangunan taman rekreasi awam di Taman Woodland di Bandar Baru Tambun pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Selepas kejayaan tandas awam bertaraf 'BMW' iaitu 'Bersih, Menawan dan Wangi', Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk membina 50 taman rekreasi awam di seluruh negara setiap tahun.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, inisiatif itu bagi mewujudkan persekitaran hijau yang mampan di sekitar kawasan perumahan selain memberi gaya hidup sihat kepada komuniti setempat.

Menurutnya, dibawah usaha itu, KPKT menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memperuntukkan sekitar RM500,000 bagi setiap taman rekreasi berkenaan.

"Kita bukan sahaja mahu rumah selaras dengan slogan rumahku syurgaku, tetapi penting juga ada taman seperti ini.

"Kemudahan ini boleh dijadikan satu fisioterapi kepada penduduk yang kini menghadapi pelbagai masalah tekanan jiwa kerana apabila ada taman untuk mereka beriadah, maka membawa manfaat yang baik kepada semua," katanya.

Kor Ming (tengah) menyempurnakan gimik perasmian pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodland dekat Bandar Baru Tambun pada Selasa.
Kor Ming (tengah) menyempurnakan gimik perasmian pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodland dekat Bandar Baru Tambun pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodland dekat Bandar Baru Tambun di sini pada Selasa.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Artikel Berkaitan:

Kor Ming berkata, di Perak sahaja, KPKT telah memperuntukkan RM10 juta untuk membina 22 taman rekreasi awam yang mana kerja-kerja pembangunannya siap sepenuhnya tahun ini.

Katanya, sebagai galakan tambahan, kementerian juga akan melibatkan komuniti setempat menyumbang benih pokok yang dinamakan atas nama keluarga masing-masing.

"Bayangkan jika kerajaan Madani ini mentadbir 10 tahun (dua penggal), kita mampu membina 500 taman rekreasi seperti ini. Sudah pasti waktu itu, seluruh Malaysia akan kelihatan hijau dan sihat," katanya.

Pembangunan landskap di Taman Woodland yang berkeluasan hampir 1 hektar itu antara lain melibatkan kerja membekal dan memasang alat permainan bersepadu dan senaman, membina laluan pejalan kaki, menaik taraf laluan sedia ada kepada laluan basikal dan baik pulih gelanggang serbaguna.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!