City elak terima nasib sama seperti United
GERGASI Liga Perdana Inggeris, Manchester City menjangkakan perlawanan sengit dalam perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang FC Copenhagen yang segar dan kompetitif menjelang perlawanan di Stadium Parken, awal pagi Rabu, kata Pengendali, Pep Guardiola
Copenhagen yang menduduki tempat kedua dalam Kumpulan A menyisihkan Manchester United dan Galatasaray, mengekori Bayern Munich, kembali beraksi kompetitif selepas berehat musim sejuk selama dua bulan.
City pula berada dalam momentum rekod kemenangan 10 perlawanan semua pertandingan tetapi pengendali dari itu Sepanyol mengakui masih tidak berpuas hati dengan momentum pasukannya ketika meneruskan kempen kejuaraan Eropah.
"Kami telah melihat apa yang (Copenhagen) boleh lakukan menentang Manchester United dan Galatasaray dalam kumpulan yang sangat sukar. Apabila saya melihat apa yang mereka lakukan saya fikir 'wow'...
"Mereka akan teruja untuk bersaing dan penuh tenaga. Saya tidak tahu bagaimana rentak mereka tetapi harap kami akan berada pada tahap yang baik untuk bersaing.
"Kami perlu bersedia dari segi mental. Kami perlu bersedia untuk menderita kerana ia akan menjadi perlawanan yang ketat. Biasanya, hati saya tidak berbohong kepada saya," kata Guardiola pada sidang akhbar.
Sebagai rekod, Copenhagen menewaskan Manchester United, 4-3 dalam aksi peringkat kumpulan pada 9 November lalu sebelum tewas 0-1 dalam perlawanan kedua selepas itu.
Skuad Guardiola berada dalam semangat yang baik selepas penjaring terbanyak, Erling Haaland kembali beraksi pada hujung minggu dengan menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Everton selepas dua bulan bebas kecederaan.
"Dia begitu kuat dari segi mental - selepas satu gol dia mahu gol kedua dan kemudian gol ketiga. Kami gembira dia kembali selepas dua bulan...
"Anda lihat angkanya dalam Liga Juara-Juara, malah (Lionel) Messi tidak mempunyai angka ini pada usianya. Ia sukar dipercayai," komennya mengenai penyerang berusia 23 tahun itu yang telah menjaringkan 52 gol dalam 53 penampilan untuk City dan Borussia Dortmund.
Guardiola juga menempatkan pemain tengah Kevin De Bruyne kembali dalam pasukan selepas lima bulan berehat kerana kecederaan hamstring.
LIGA JUARA-JUARA
Pusingan 16 Terbaik
Perlawanan Pertama
Rabu (14 Februari)
FC Copenhagen lwn Manchester City, 4 pagi
RB Leipzig lwn Real Madrid, 4 pagi
Khamis (15 Februari)
Paris Saint-Germain lwn Real Sociedad, 4 pagi
SS Lazio lwn Bayern Munich, 4 pagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!