Legenda Itali, Gianluigi Buffon menyesal 'beli' diploma
BIELLA - Penjaga gol legenda Itali dan Juventus, Gianluigi Buffon membuat pengakuan mengejut apabila dia ‘membeli’ diploma ketika usianya baru mencecah 18 tahun.
“Saya ada membuat banyak kesilapan terutama sekali ketika saya masih muda. Sehingga hari ini, saya cukup menyesal dengan tindakan saya mendapatkan diploma,” katanya.
Buffon yang bersara pada Ogos tahun lalu dianggap antara bekas pemain Itali yang cukup cemerlang sepanjang kariernya dalam bola sepak.
Selain berjaya mengetuai Itali muncul Juara Dunia pada 2006, Buffon turut cemerlang di peringkat kelab bersama Juventus, Parma dan Paris Saint-Germain (PSG).
Buffon juga dipuji kerana kecemerlangannya dalam bidang akademik kerana memiliki diploma. Namun, pengakuan Buffon merasuah orang lain untuk mendapatkan diplomanya telah mengejutkan ramai pihak.
Disebabkan tidak mahu selamanya hidup dalam penipuan dan rasa bersalah, maka Buffon yang kini berusia 46 tahun tampil membuat pengakuan tersebut.
“Saya tidak akan mengulangi kesilapan sama. Ia satu ketidakadilan, saya bukan seorang yang mahu menggunakan jalan pintas untuk berjaya,” ujarnya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!