‘Zionis menyamar jadi rakyat Palestin untuk membunuh’
SHAH ALAM - Kawasan ‘selamat’ yang menjadi tempat perlindungan rakyat Palestin di Rafah tidak lagi aman apabila rejim Zionis membedil penempatan itu.
Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, tentera Israel semakin bertindak kejam apabila ada dalam kalangan mereka yang menyelinap masuk ke kawasan itu untuk mencederakan rakyat Palestin.
“Saya difahamkan Zionis menyamar menjadi rakyat Palestin semata-mata mahu mencederakan penduduk di Rafah.
“Bukan itu sahaja, kami turut dikhabarkan ada pergerakan ketenteraan Israel untuk menghapuskan penduduk Palestin secara total,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan, tentera Israel telah melancarkan serangan besar-besaran di bandar selatan Rafah, Gaza dan mengorbankan 100 rakyat Palestin yang sedang berlindung.
Mengulas lanjut tentang serangan itu, Mohd Hakim berkata, tindakan rejim Zionis membedil Rafah bukan satu perkara yang mengejutkan.
Menurutnya, jelas lagi nyata dalam al-Quran ada membicarakan tentang perwatakan orang Yahudi yang terkenal dengan tipu muslihat dan tidak berperikemanusiaan.
“Sebelum ini mereka (tentera Israel) turut menyatakan perkara sama yang meminta penduduk keluar dari sesuatu kawasan kerana mahu mengebom tempat itu, namun apa Zionis lakukan?
“Mereka bedil penduduk-penduduk Palestin yang sedang keluar dari kawasan berkenaan. Orang Yahudi memang penipu!” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa kesemua pemimpin dunia Islam untuk bertindak tegas terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Zionis.
Katanya, nasib rakyat Palestin kini bergantung kepada perjuangan seluruh pemimpin dunia dalam menggesa Israel untuk menghentikan segera pembunuhan itu.
“Kini kita perlu bergerak dengan lebih proaktif, jangan pula tunggu sehingga kesemua rakyat Palestin dibunuh baru mahu memperjuangkan hak mereka.
“Bersuara sahaja tidak mencukupi, sebaliknya perlu ada tindakan tegas. Saya berpandangan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memerintahkan Israel mengambil tindakan mencegah pembunuhan beramai-ramai dalam konflik di Semenanjung Gaza, perlu ada tindakan susulan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut berkongsi keadaan rakyat Palestin yang kini berhadapan dengan kebuluran kerana tidak mendapat sumber makanan mencukupi.
Mohd Hakim berkata, tidak semua bantuan makanan yang disalurkan itu berjaya dibawa masuk dan keadaan itu mengakibatkan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa minum air kotor.
“Sebagai rakyat Malaysia, perkara yang boleh kita lakukan kini adalah mendoakan, sentiasa bersolidariti dan menyumbangkan bantuan dari segi kewangan untuk meringankan beban mereka.
“Dana hasil sumbangan orang ramai akan digunakan untuk keperluan pakaian, alat perubatan dan selimut bagi membantu pelarian berdepan dengan cuaca sejuk,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!