Kerajaan yakin tunai janji bina 1 juta rumah mampu milik: Zuraida
PUTRAJAYA - Kerajaan kini di landasan tepat untuk menunaikan janji membina 1 juta projek perumahan mampu milik di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ini dibuktikan apabila sebanyak 46,666 unit rumah mampu milik melibatkan semua skim telah dibina dari tempoh Julai 2018 sehingga November tahun lalu.
Menurutnya, sejumlah 151,933 unit perumahan mampu milik kini sedang dibina sekali gus menunjukkan kemampuan kerajaan menyempurnakan pembinaan hampir 200,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh setahun.
"Secara keseluruhan, pencapaian kita adalah melebihi sasaran dan kita yakin ianya akan diteruskan sepanjang tahun 2020.
"Pencapaian ini akan terus dipantau sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran kerajaan dan kita kini berada di landasan terbaik untuk menunaikan janji pembinaan sejuta perumahan mampu milik kepada rakyat negara ini," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini.
Zuraida menegaskan, kerajaan turut menyasarkan kos tanggungan pelaksanaan fasa projek perumahan di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bernilai RM11 bilion terhadap pemaju akan diselesaikan pada 2023.
"Melalui pelan rasionalisasi projek perumahan PR1MA dirangka sebelum ini, beliau menegaskan, kerajaan berjaya mengurangkan pelaksanaan fasa projek perumahan PR1MA daripada keseluruhan 94 projek kepada 65 projek," katanya.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini mula menanggung kos pelaksanaan keseluruhan 94 fasa projek perumahan PR1MA berjumlah RM24 bilion sebelum berkurangan kepada RM11 bilion setelah ia dikurangkan kepada 65 fasa projek.
"Kita sudah mengadakan pertemuan dan mencapai satu langkah penyelesaian terbaik dengan kumpulan pemaju projek terbabit susulan mereka memahami kedudukan kerajaan ketika ini.
"Daripada keseluruhan 94 fasa projek PR1MA dirangka, kita sudah berjaya mengurangkan kepada 65 fasa projek bersandarkan tiga langkah penyelesaian berbeza," katanya.
Zuraida berkata, langkah pertama penyelesaian melibatkan pemaju yang sudah menyiapkan 90 peratus projek di mana kerajaan menawarkan mereka menyelesaikan baki peruntukan 10 peratus ditanggung kos mereka sendiri.
Menurutnya, cadangan itu dipersetujui 29 pemaju dan mereka boleh mula menjual unit perumahan terbabit setelah projek disiapkan sepenuhnya.
"Langkah penyelesaian kedua melibatkan pemaju sudah menyiapkan fasa projek sebanyak 40 peratus atau kurang di mana kita sudah menerima suntikan dana daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM641 juta bagi menyelesaikan bayaran tertunggak kepada mereka.
"Ada pemaju yang belum mendapat bayaran sehingga lebih enam bulan dan dengan penyelesaian tunggakan dibuat, mereka boleh meneruskan pelaksanaan projek perumahan PR1MA itu.
"Langkah penyelesaian ketiga adalah melibatkan pemaju yang belum memulakan pelaksanaan projek namun dihentikan kerajaan. Kerajaan memberi jaminan akan memindahkan status projek mereka kepada projek perumahan lain bersesuaian," katanya.
Zuraidah berkata, kerajaan juga sedang berusaha memastikan segala perihal pelaksanaan PR1MA akan dapat disempurnakan pada tahun 2023 sebelum digantikan dengan inisiatif pelaksanaan lebih baik dan tersusun.
Menurutnya, sehingga kini, sejumlah 9,306 unit perumahan PR1MA berjaya dijual sekali gus membolehkan kerajaan meraih keluaran dalam negara kasar (KSNK) RM2 bilion dan mengutip RM470 juta.
"Secara keseluruhan, kita berjaya menerima tempahan pembelian rumah PR1MA sebanyak 19,170 unit dengan sejumlah 10,787 unit terjual melibatkan nilai RM1.03 bilion.
"Bagi mana-mana pembeli yang bimbang dengan status pelaksanaan fasa projek PR1MA kerana tempoh promosi 31 Disember lalu, mereka masih layak mendapat tawaran promosi itu asalkan tempahan dibuat sebelum 31 Disember lalu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!