Masyarakat kita sedang sakit, yang salah dipuja, yang betul dihina
JANUARI lepas Merak Jalanan terkejut dengan pendedahan polis mengenai seorang lelaki gila seks yang merakam aksi dia meniduri lebih 20 wanita dan jual video lucahnya di laman sosial.
Merak Jalanan sangkakan kejadian seumpama itu hanya berlaku di luar negara, rupa-rupanya sudah ada di Malaysia. Lebih mengejutkan, pelakunya adalah orang Melayu Islam sendiri dan dia baru sahaja dituduh di mahkamah.
Kata polis, kes seperti ini adalah yang pertama kali dikesan di negara ini. Nak dijadikan cerita, lelaki hot tadi tiba-tiba jadi terkenal. Dia dilayan macam selebriti. Ramai yang menyapa mesra dan mahu bergambar kenangan dengannya. Dia juga dipanggil sebagai tetamu program podcast YouTuber.
Yang Merak Jalanan bimbang ialah sikap segelintir masyarakat yang begitu mudah menormalisasikan perbuatan salah seperti persundalan.
Yang peliknya, pasangan yang berkahwin untuk elak maksiat - cuma diijab kabul di Thailand, dikecam habis-habisan. Dulu Syamsul Yusof dan Ira Kazar, terbaharu pasangan Aslam dan Marissa pula jadi tumpuan. Abang Tesla dan Alif Teega juga teruk dikata itu ini kerana berpoligami.
Merak Jalanan tak kata jadi 'penyondol' itu betul atau kahwin lari sampai menyakiti hati ibu bapa sendiri tak salah. Cuma gambaran yang diberikan oleh sesetengah netizen agak keterlaluan. Semuanya buruk dan negatif. Nikah yang halal seolah-olah sesuatu yang haram pula dan sesiapa yang terlibat dianggap sangat jahat.
Keadaan ini hampir serupa dengan kes mufti tegur konsert artis di ambang Ramadan. Alih-alih mufti pula yang kena minta maaf, macam dia yang bersalah kerana buat teguran.
Merak Jalanan yang tak pandai bab agama ini percaya ini adalah salah satu tanda masyarakat kita sedang sakit. Yang salah diangkat, dipuja macam betul, yang betul dikecam, dihina macam salah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!