Indonesia memilih: Yang rugi Jokowi

Jokowi (tengah) bersama isteri, Iriana (kanan) dan anak-anak Gibran Rakabuming, Kahiyang Ayu Kaesang Pangarep. - AFP
Jokowi (tengah) bersama isteri, Iriana (kanan) dan anak-anak Gibran Rakabuming, Kahiyang Ayu Kaesang Pangarep. - AFP
A
A
A

SIAPA pun yang memenangi pemilihan Presiden Indonesia bagi 2024, yang pasti nama baik Presiden Joko Widodo (Jokowi) telah tercalar. Presiden paling popular dalam sejarah Indonesia nampaknya akan mengakhiri legasinya dengan cara yang menyedihkan.

Rakyat boleh faham sekiranya mahkamah tertinggi di negara itu, Mahkamah Konstitusi (MK) membuat keputusan menurunkan garis usia minimum untuk seseorang yang bertanding sebagai calon presiden (capres) atau calon wakil presiden (cawapres).

Beliau boleh berselindung di sebalik keputusan MK seperti pada peringkat awal keputusan itu dibuat walaupun orang tahu presidennya adalah adik iparnya sendiri.

Mungkin hal itu boleh dimaafkan disebabkan lima daripada sembilan hakim memihak kepada keputusan itu. Akibat keputusan tersebut, anak Jokowi, Gibran Rakabuming Raka yang berusia 36 tahun lolos untuk didaftarkan sebagai cawapres.

Mungkin rakyat juga boleh memaafkan beliau apabila dikatakan ‘menderhakai’ Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang mendukungnya selama ini.

Darah tentunya lebih pekat daripada politik. Beliau membelakangkan parti yang mendukungnya sejak beliau menjadi Walikota Solo, Gabenur Jakarta dan kemudiannya untuk merebut jawatan presiden.

Sepatutnya beliau menyokong calon parti itu, Ganjar Pranowo dan pasangannya, Mahfud MD. Tetapi beliau memilih untuk menyokong pasukan Prabowo Subianto dan anaknya, Gibran.

Artikel Berkaitan:

Petugas memunggah kotak undi menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 di Timika, Papua Tengah, Indonesia.
Petugas memunggah kotak undi menjelang Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 di Timika, Papua Tengah, Indonesia.

Isu MK menggerhanakan kredibiliti beliau dan kerajaan. Suara penentangan bukan sahaja datang daripada ahli hukum dan pemerhati politik tetapi rata-rata kelompok intelektual serta seniman.

Tokoh budayawan dan wartawan seperti Gunawan Mohamad yang selama ini menyokong Jokowi menganggap dirinya ‘dibohongi’.

Isu etika digunakan bagi membuktikan adanya dalang di sebalik cakap-cakap mengenai ‘Dinasti Jokowi’, isterinya Iriana.

Mereka yang membangkitkan isu ini tidak boleh dipersalahkan mengambil kira anak lelaki yang seorang lagi, Kaesang Pengarep kini memimpin sebuah parti walaupun baru dua hari menjadi anggotanya (Parti Solidaritas Indonesia) menggantikan Giring Ganesha. Menantu beliau pula, Muhammad Bobby Afif Nasution adalah Walikota Medan.

Apa yang sepatutnya Jokowi lakukan ialah mengambil sikap tidak memihak dalam pemilihan ini. Beliau telah berkali-kali menyatakan hal itu sebelum ini, termasuk dalam satu majlis makan bersama ketiga-tiga calon presiden – Anies Baswedan, Prabowo dan Ganjar. Tetapi akhir-akhir ini beliau menggunakan hujah bahawa menurut undang-undang, Presiden boleh berkempen dan boleh memihak.

Rakaman beliau memberikan bansos (bantuan sosial) kepada rakyat dalam program yang jelas menunjukkan kempen untuk Prabowo-Gibran membangkitkan kemarahan banyak pihak. Ada berita tersebar bahawa ada arahan memastikan tim Prabowo-Gibran perlu dibantu oleh kepala desa atau bupati.

KERESAHAN

Apa yang berlaku selama ini membangkitkan keresahan dalam kalangan pimpinan institusi pengajian tinggi di Indonesia. Bermula daripada teguran yang dibuat oleh Universiti Gajah Mada (UGM) di Jogjakarta yang merupakan alumni Jokowi, rektor, dekan dan ketua-ketua jabatan lebih 60 institusi pengajian tinggi rata-rata menyuarakan perlunya Jokowi kembali ‘pada koridor demokrasi’.

Mereka mahukan hukum ditegakkan. Para pelajar juga mula berdemonstrasi di jalanan menyatakan kemarahan mereka tentang hala tuju pimpinan Jokowi dan sikap memihak beliau.

Malah sekiranya sebuah filem dokumentari terbaharu boleh dipercayai, memang sejak sekian lama perancangan telah dibuat untuk menyediakan sistem sokongan daripada semua lapisan pemerintahan untuk memenangkan Prabowo-Gibran.

Dokumentari berjudul Dirty Vote itu diarahkan oleh Dandhy Dwi Laksono yang mendapat sokongan 20 buah badan dan persatuan termasuk Aliansi Jurnalis Independen (AJI) dan Fraksi Rakyat Indonesia.

Dalam filem tiga orang pakar undang-undang ketatanegaraan, Bivitri Susanti, Feri Amsari dan Zainal Arifin Mokhtar memberikan hujah mengapa pemilu kali ini kotor dan banyak kecurangan. Filem yang panjangnya lebih dua jam ini ditonton oleh lebih 13 juta orang melalui pelbagai platform media sosial dalam dua hari.

Isunya adalah sikap Jokowi sendiri. Banyak pihak menganggap bahawa ‘faktor Jokowi’ boleh memenangkan mana-mana pasukan. Approval rating Jokowi masih di atas paras 70 peratus walaupun akhir-akhir ini menampakkan penuru-nannya.

Masih banyak rakyat Indonesia yang mahukan petunjuk daripada Jokowi. Mereka mahukan apa yang dirancangkan oleh Jokowi diteruskan. Kelangsungan penting bagi sesebuah negara. Kestabilan politik besar maknanya bagi rakyat dan pelabur.

Tetapi Anies Baswedan dan Muhaimin Iskandar mengajak pada perubahan. Mereka berpendapat yang harus ditegakkan adalah negara hukum bukan negara yang berteraskan kekuasaan.

Mereka mengetengahkan pelbagai bukti bahawa suara rakyat telah ditekan dan kehiduan mereka semakin sukar. Mereka percaya pandangan banyak pihak bahawa Jokowi telah mengembalikan semula lambang kebencian rakyat semasa era Orde Baru Presiden Suharto – Korupsi, Kolusi dan Nepotisme (KKN).

Siapakah yang akan menang dalam pilihan raya presiden hari ini? Banyak tinjauan atau polls yang dibuat menunjukkan Prabowo-Gibran berada di hadapan. Malah ada yang memberikan angka melepasi 50 peratus bagi pasukan itu walaupun hal itu dipertikaikan oleh banyak pihak.

Untuk mana-mana pasangan calon (paslon) untuk menang paslon itu harus memperoleh 50 peratus undi dan 20 peratus dapatan undi daripada provinsi. Banyak yang percaya, oleh sebab sengitnya pertarungan kali ini tidak ada paslon yang akan meraih angka keramat 50 peratus itu.

Sekiranya tidak ada paslon yang memperoleh 50 peratus hasil undian, dua paslon yang mendapat peratus tertinggi akan bertanding semula dalam pusingan kedua pada 20 Jun 2024.

Hari ini adalah hari penentuan.

Seramai 203,056,748 orang akan membuang undi di 820,161 tempat membuang undi di Indonesia. Ia membabitkan 38 provinsi, 514 kabupaten dan kota, 7,277 kecamatan dan 83,731 desa dan kelurahan. Lebih 1.6 juta rakyat Indonesia di luar negara sudah pun membuang undi di 126 negara sebelum ini.

Medan tempur utamanya tentulah di Pulau Jawa di mana terdapat 95,406,550 pengundi. Juga di media sosial yang menjadi gelanggang kempen yang hebat bagi memenangi hati hampir separuh pengundi yang terdiri di kalangan Generasi Z dan millennials.

Sama-samalah kita lihat kesudahannya!

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau mengikuti Pemilu Indonesia 2024 dengan penuh minat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!