'Ibarat impian menjadi realiti' - Hakim Danish
PELUMBA muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli menyifatkan peluang beraksi dalam perlumbaan JuniorGP bermula April depan sebagai impian menjadi kenyataan.
Beliau amat gembira dengan peluang tersebut dan berharap pengalaman beraksi dalam saingan European Talent Cup (ETC) selama dua tahun dapat membantunya untuk memperagakan perlumbaan terbaik.
Malah pelumba berusia 17 tahun itu amat menghargai pasukan ZK Racing yang dikemudi Muhammad Zulfahmi Khairuddin sebagai pengurus, Kementerian Belia dan Sukan serta Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Membuat penampilan pertama dalam kategori JuniorGP musim ini adalah impian yang menjadi kenyataan. Saya sangat berterima kasih kepada MTHelmets-MSi dan ZK Racing kerana memberi peluang ini.
“Sepanjang musim cuti saya banyak membuat latihan untuk membina asas yang baik sebagai persediaan sebelum musim bermula. Saya mahu melakukan yang terbaik untuk diri, pasukan dan belajar sebanyak yang mungkin untuk pamer aksi cemerlang walaupun dalam tahun rookie.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada SIC dan KBS kerana terus mempercayai dan menyokong saya,” katanya.
Hakim Danish akan menjadi wakil tunggal pasukan SIC Racing-MSi dalam perlumbaan JuniorGP dijadual bermula 21 April depan dengan pusingan di Emilia-Romagna, Itali sebagai perlumbaan pembuka musim.
SIC Racing-MSi adalah pasukan baharu yang berbeza berbanding musim lepas apabila Zulfahmi akan bekerjasama dengan seorang krew Eropah dan turut membawa tiga lagi krew dari Malaysia ke dalam pasukan.
“Saya sangat gembira dapat merialisasikan peluang ini. Menubuhkan pasukan bersama pasukan MT di FIM JuniorGP besama pelumba kita, Hakim Danish dan beberapa krew daripada Malaysia.
“Ini adalah struktur impian untuk ZK Racing pergi ke peringkat seterusnya dengan pelumba Malaysia. Saya yakin dengan pengalaman Hakim Danish berlumba di Eropah, ini adalah tahun yang sesuai untuk dia naik ke peringkat JuniorGP," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!