Kritik Pan-gon: Intan Serah jawab surat tunjuk sebab
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pemain bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli sudah menghantar surat jawapan tunjuk sebab selepas tindakannya mengkritik pengendali pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, hukuman yang akan dikenakan kepada Intan Sarah atau lebih dikenali Intan Serah akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.
"Bagi pihak unit undang-undang, kami telah hantar surat tunjuk sebab pada 8 Februari lalu. Intan Serah juga telah menyerahkan jawapan surat tunjuk sebab itu.
"Sekarang, kita menunggu jawatankuasa tatatertib untuk bersidang," katanya.
Sebelum ini, pemain bola sepak wanita kebangsaan itu menerusi ciapan di platform X miliknya mengkritik percaturan Pan-gon yang memasukkan Romel Morales ketika skuad negara ketinggalan 2-3 kepada Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia di Stadium Al Janoub, Doha pada 28 Januari lalu.
Bagaimanapun, Morales menjadi watak penting apabila meledak gol penyamaan untuk membolehkan Harimau Malaya mengikat pasukan di ranking ke-23 dunia itu.
Tindakan Intan Serah itu turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan peminat bola sepak negara dan dia juga telah memohon maaf atas ciapan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!