Hentikan kongsi tangkap layar masalah peribadi, kemudian tanya pandangan warga siber
BUKAN sekadar tempat luahan perasaan, malah terdapat segelintir pengguna media sosial yang menjadikan platform berkenaan sebagai ruang ‘membongkar’ masalah peribadi.
Jika dahulu kita biasa melihat seseorang menghamburkan perasaan di akaun media sosial sendiri.
Sekarang, ada pula individu yang meluahkannya menerusi kumpulan media sosial tertentu untuk bertanyakan pandangan warga siber tentang kemelut peribadi yang dihadapi mereka atau soalan bersifat tidak berbohong (Not gonna lie (NGL)).
Situasi itu kadangkala memicu ketegangan dan ‘perang’ melibatkan warga maya yang memberikan pandangan masing-masing.
Tiada yang betul mahupun salah dalam melontarkan buah fikiran. Apa yang menjadi masalahnya apabila isu yang dibangkitkan itu tidak berkesudahan dan tiada titik penyelesaian.
Akhirnya ia membawa kepada fitnah mahupun natijah tidak baik.
Seorang pengguna akaun X yang dikenali sebagai Muzuza membuat teguran tersebut dan menasihatkan masyarakat agar berhenti berkongsikan tangkap layar masalah peribadi manusia yang kemudian meminta pandangan daripada warga siber.
“Netizen bukanlah semuanya berkelayakan untuk menjawab. Maka, bimbang terbit jawapan yang menyimpang daripada kebenaran.
“Ambil video TikTok atau soalan NGL, ulas ‘atas angin’ atau minta ulasan daripada netizen yang tidak diketahui latar belakang ilmu. Ini mesti dihentikan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi coretannya di akaun media sosial miliknya itu.
Muzuza yang juga pendakwah mengingatkan agar kita mengambil saranan Ibnu Sirin Rahimahullah yang menyatakan: “Sesungguhnya ilmu adalah urusan dari agama, maka perhatikan dari siapa kamu mengambilnya.”
Penulis buku kerohanian itu turut mengemukakan pesanan yang terkandung dalam al-Quran mengenai perihal bertanyakan sesuatu kepada ‘ahlinya’.
Firman ALLAH SWT: “...Maka bertanyalah kamu kepada orang yang tahu, jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl, ayat 43)
“Andai kita bertanya kepada orang yang tiada latar belakang ilmu, sebenarnya (perbuatan itu) tidak selari dengan petunjuk al-Quran.
“Kita tak boleh biar (perkara) ini berlaku. Kalau tidak, masalah yang sudah lama selesai akan selalu bangkit semula dan kita bergaduh secara bermusim,” ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!