Pemilu 2024: Anies Baswedan selesai mengundi

Anies (berdiri, dua dari kiri) sewaktu tiba di Pusat Pengundian Lebak Bulus 60 di Jakarta bersama ahli keluarganya.
Anies (berdiri, dua dari kiri) sewaktu tiba di Pusat Pengundian Lebak Bulus 60 di Jakarta bersama ahli keluarganya.
A
A
A

JAKARTA - Calon Presiden Indonesia, Anies Baswedan dan ahli keluarganya selesai mengundi sempena Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 di Pusat Pengundian Lebak Bulus 60, di sini pada Rabu.

Bekas Gabenor Jakarta itu tiba di Tempat Pemungutan Suara (TPS) pada jam 8.21 pagi, berpakaian serba putih bersama ahli keluarga dan penyokongnya.

Sebaik sahaja selesai membuang undi pagi ini, beliau akan menuju ke kawasan Menteng untuk memantau hasil penghitungan suara sementara atau lebih dikenali sebagai 'quick count'.

Dalam pilihan raya sehari terbesar di dunia itu, rakyat Indonesia akan memilih presiden dan naib presiden baharu, Parlimen dan penggubal undang-undang.

Kira-kira 204.8 juta pengundi layak untuk mengundi, manakala sebanyak 820,161 TPS di 38 provinsi dibuka kepada para pengundi selama enam jam, bermula jam 7 pagi sehingga 1 tengah hari.

Anies berpasangan dengan Ketua Umum Parti Kebangkitan Bangsa, Muhaimin Iskandar, sebagai calon naib presiden.

Selain itu, Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto pula bertanding buat kali ketiga setelah kalah pada 2014 dan 2019 kepada Jokowi dan kini bergandingan dengan anak sulung Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, sebagai regunya untuk calon naib presiden.

Bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo pula bergandingan dengan Mahfud MD, bekas Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan untuk jawatan presiden dan naib presiden.

Artikel Berkaitan:

Pemilu kali ini mendapat perhatian memandangkan ia berlangsung di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia.

Pemilihan kali ini juga bakal menentukan pengganti Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober.

Calon presiden dan naib presiden bagi tempoh 2024-2028 akan dipilih pengundi serta sejumlah calon anggota Majlis Permusyarawatan Rakyat (MPR), Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Jika tiada pasangan calon yang memenangi lebih 50 peratus undi dengan sekurang-kurangnya 20 peratus undi daripada lebih separuh wilayah, pusingan kedua akan diadakan pada 26 Jun antara dua calon teratas.

Presiden dan naib presiden yang baru dipilih akan mengangkat sumpah pada 20 Oktober bersama ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!