Persembahan sempurna City
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola gembira dengan persembahan pasukannya ketika mereka menewaskan Copenhagen FC 3-1 dalam perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara pada Rabu.
Kevin De Bruyne sekali lagi menampilkan aksi cemerlang apabila menjaringkan gol pembukaan dan memainkan peranan dalam dua gol berikutnya dalam kemenangan tersebut.
“Pemain yang bagus (De Bruyne) muncul ketika detik yang besar ini. Ia adalah masa yang tepat dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara.
“Cara kami bermain hari ini adalah sempurna — bersabar pada saat yang tepat, mereka (lawan) sangat teratur. Saya sangat berbangga dengan pasukan ini sekali lagi.
"Ia belum selesai, tetapi gol ketiga banyak membantu kami dan berharap kami dapat menyudahkannya (perlawanan timbal balik) di tempat sendiri," kata Guardiola.
Pada separuh masa kedua, City seakan-akan membawa pulang kelebihan tipis satu gol, namun gol pada masa kecederaan Phil Foden menjadikan kedudukan 3-1 untuk memberikan mereka kelegaan dengan dua gol menjelang perlawanan timbal balik.
“Perlawanan ini dimulakan dengan dengan baik sejak minit pertama. Kami melepaskan satu gol yang sepatutnya boleh dielakkan, tetapi kadangkala ia berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Gaurdiola bersimpati dengan pemain sayap Jack Grealish, yang terpaksa diganti pada separuh masa pertama selepas mengalami kecederaan pangkal paha.
“Agak merugikan kerana dalam perlawanan seperti ini kami memerlukan pemain sepertinya. Bernardo (Silva) dan Jack banyak membantu kami membuat hantaran tambahan dalam serangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!