Hari akhir Op Selamat 21 catat lapan kematian
KUALA LUMPUR - Statistik hari akhir pelaksanaan Op Selamat 21 sempena Tahun Baharu Cina di seluruh negara pada Selasa merekodkan lapan kes kemalangan maut.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, kes itu membabitkan 1,455 kes kemalangan yang direkodkan pada tempoh itu dengan 1,786 kenderaan terlibat.
"Terdapat lapan kes kemalangan maut dengan jumlah lapan kematian.
" JSPT menyeru dan menasihatkan kepada semua pengguna jalan terutama penunggang motosikal sentiasa peka dan berhati-hati ketika berada di dalam pergerakan lalu lintas," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, pengguna diingat untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mematuhi arahan dan bekerjasama dengan petugas JSPT di lapangan.
Op Selamat 21 dilaksanakan di seluruh negara bermula 8 hingga 13 Februari sempena Tahun Baharu Cina.
Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Op Selamat bagi edisi kali ini masih mengekalkan tema "Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi", dengan mengangkat dua objektif utama iaitu meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.
JSPT turut dibantu oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM dalam menjalankan pemantauan udara di tiga zon utama iaitu zon Utara, Selatan dan Timur.
Selain itu, bagi mencegah jenayah pecah rumah pula, seluruh jentera PDRM di peringkat kontinjen akan digerakkan untuk rondaan pencegahan jenayah, risikan, operasi dan pemantauan secara berjadual di kawasan perumahan serta premis perniagaan terutamanya yang memaklumkan ketiadaan mereka kepada pihak polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!