KEB 2024 terbuka kepada semua termasuk parti politik

Anwar (tengah) merasmikan Majlis Prapeluncuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra pada Rabu. Foto Bernama
Anwar (tengah) merasmikan Majlis Prapeluncuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB) yang dijadualkan berlangsung dari 29 Februari hingga 2 Mac ini terbuka kepada semua termasuk mana-mana parti politik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan yang dijangka mencapai 3,000 peserta itu turut melibatkan semua dewan perniagaan bumiputera iaitu Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta Orang Asli.

"Kita buta warna di dalam soal ekonomi bumiputera," katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis prapeluncuran KEB 2024 di Bangunan Perdana Putra, yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.

Menurut Ahmad Zahid, KEB akan menggali beberapa aspek teknologi dan peluang baharu di dalam bidang yang belum terjangkau di negara ini.

"Kita akan melihat unjuran untuk 10 hingga 20 tahun akan datang dan apa yang diperbincangkan di peringkat sekretariat adalah memperkasakan institusi," jelas beliau.

Ujarnya, resolusi yang yang dicapai di dalam kongres itu akan dikemukakan kepada Anwar pada sesi penutup.

"Kita juga mahu melihat bahawa peranan yang diberikan agensi itu dinilai keberkesanannya dan pemerkasaan dilakukan daripada dapatan kajian hasil libat urus," katanya.

KEB 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Artikel Berkaitan:

Kongres itu bertujuan mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu agenda pemerkasaan bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

Di samping itu, ia akan turut mencadangkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam membuat penilaian mengenai pembangunan bumiputera termasuk tahap penyertaan dan kawalan ekonomi.

Bertemakan positif, progresif dan inovatif KEB 2024 adalah landasan penting dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi bumiputera.

Pada masa yang sama, kongres itu boleh memperkasakan bumiputera dalam soal teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!