'Serpihan sayap pesawat jatuh depan rumah, ini 'amanah' perlu saya jaga'
KLANG - Seorang penduduk Kampung Tok Muda, Kapar di sini tidak sangka apabila serpihan pesawat ringan jatuh di kawasan rumahnya.
Roszzaini Isrol, 60, berkata, serpihan sayap pesawat ringan model BK 160 Gabriel itu melayang dan terjatuh di laman rumahnya di Jalan Setia Jaya, dekat sini.
Katanya, serpihan pesawat tersebut melayang kira-kira 15 minit di udara sebelum 'mendarat' di kawasan rumahnya.
"Saya dengar ada ledakan letupan di udara, sebelum jiran hadapan rumah menjerit kapal terbang meletup.
"Tidak sangka serpihan bangkai itu jatuh di laman rumah. Ini amanah yang perlu saya jaga kerana ia merupakan bahan bukti," katanya pada Rabu.
Roszzaini berkata, serpihan sayap lain turut terhempas di pekarangan rumah saudara-maranya yang lain terletak kira-kira 50 meter dari kediamannya.
"Ini pertama kali kejadian pesawat terhempas di kampung ini dan mungkin saya antara yang 'bertuah' mendapat serpihan ini untuk seketika," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!