Pahang susun semula portfolio tiga Exco
KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang menyusun semula portfolio melibatkan tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui penyusunan semula portfolio itu, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff akan memikul tanggungjawab sebagai Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar itu sebelum ini merupakan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri.
Menurut Wan Rosdy, ADUN Muadzam Shah, Ir Razali Kassim yang sebelum ini Exco Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang dilantik Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang.
"ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada Selasa memegang portfolio Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.
Melalui kenyataan itu, Wan Rosdy mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Exco terlibat.
"Saya berharap dengan penyusunan semula portfolio Exco Kerajaan Negeri Pahang ini, pentadbiran kerajaan negeri akan lebih kemas dan mantap terutamanya dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!