Penagih mengamuk pukul ibu, ugut letup tiga tong gas

Polis dan pasukan bomba sedang berusaha memujuk suspek.
Polis dan pasukan bomba sedang berusaha memujuk suspek.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang lelaki yang mengamuk dengan memukul ibunya menggunakan rotan di sebuah rumah flat di Jalan Gangsa di sini ditahan sepasukan polis pada malam Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan selepas polis berjaya memujuknya selama lebih tiga jam.

Menurutnya, selain memukul ibunya yang berusia lingkungan 70an, lelaki tersebut turut mengugut untuk meletupkan tiga tong gas di kediamannya itu.

Kata Swee Sake, ketika kejadian, suspek hanya bersama ibunya yang mana, adik perempuannya yang berusia 30an keluar bekerja.

"Suspek berada dibawah pengaruh dadah ketika kejadian berkenaan. Kejadian disedari jirannya lalu menghubungi polis pada jam 9.30 malam.

"Polis kemudiannya tiba di lokasi bagi menyelamatkan warga emas tersebut. Pihak bomba turut dipanggil berikutan suspek telah mengugut untuk meletupkan tong gas di rumahnya.

"Suspek turut bertindak memegang ibunya secara kasar sambil mengugut untuk mencederakannya menggunakan pisau yang terselit di pinggang," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Swee Sake berkata, walaupun lebih dua jam dipujuk, suspek masih enggan melepaskan ibunya malah turut mengugut untuk terjun dari tingkat 11 rumahnya itu.

Artikel Berkaitan:

Swee Sake (baju petak) sedang memujuk suspek dalam kejadian malam Selasa.
Swee Sake (baju petak) sedang memujuk suspek dalam kejadian malam Selasa.

"Selepas menerima maklumat berkenaan, saya telah ke lokasi kejadian untuk cuba memujuk suspek," katanya.

Beliau menambah, proses memujuk suspek telah dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Selepas lebih sejam saya memujuknya, suspek akhirnya mempercayai saya. Saya terpaksa mengambil risiko untuk masuk ke dalam rumah suspek kerana bimbang lelaki tersebut terus bertindak agresif.

"Tambahan pula, suspek mempunyai pemetik api dan kita bimbang dia akan meletupkan tong gas yang akan membahayakan keselamatan jiran," katanya.

Menurut Swee Sake, pada mulanya, suspek enggan berkomunikasi dengannya namun selepas beliau bercakap menggunakan bahasa Hokkien, suspek mula 'lembut hati'.

"Usaha akhirnya berjaya apabila suspek melepaskan ibunya untuk keluar dari rumah. Selepas berjaya memasuki rumah itu, kita terbau gas berikutan suspek telah membuka pili gas.

"Kita berjaya menahan lelaki itu tanpa sebarang kecederaan manakala ibunya yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawat lanjut," katanya.

Jelasnya lagi, ujian saringan air kencing suspek positif syabu.

"Suspek tiada pekerjaan tetap dan kadang kala bertindak agresif kerana pengaruh dadah. Suspek juga mempunyai tiga rekod lampau melibatkan dadah serta jenayah.

"Suspek direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!