Projek PSI: Nelayan, SAM, JEDI fail permohonan semakan kehakiman

(Dari kiri) Mageswari, Zakaria dan Khoo Salma menunjukkan dokumen semakan kehakiman selepas sidang media pada Rabu.
(Dari kiri) Mageswari, Zakaria dan Khoo Salma menunjukkan dokumen semakan kehakiman selepas sidang media pada Rabu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Tujuh nelayan bersama badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI) telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Projek Pulau Selatan Pulau Pinang (PSI).

Kesemua nelayan tersebut diwakili Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara), Zakaria Ismail.

Menurut Setiausaha Kehormat SAM, S Mageswari, semakan kehakiman itu dibuat pada 29 Disember 2023 bagi mencabar kebenaran merancang yang diberi oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia) pada 21 Ogos 2023 untuk projek mega berkenaan.

Kata beliau, sembilan pemohon telah menyaman Pengarah PLANMalaysia selaku responden pertama, Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang (responden kedua), kerajaan Pulau Pinang (responden ketiga) dan pemaju projek SRS Consortium Sdn Bhd (responden keempat).

"Zakaria membawa tindakan ini bagi pihak diri sendiri dan nelayan-nelayan lain yang tinggal atau menjalankan aktiviti perikanan di selatan pantai Pulau Pinang yang terjejas teruk akibat projek PSI.

"Pada 5 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah memberi kebenaran kepada pemohon-pemohon untuk meneruskan dengan permohonan untuk semakan kehakiman mereka," katanya pada sidang akhbar di Unit Nelayan Sungai Batu di sini pada Rabu.

Turut hadir, Presiden SAM yang juga peguam kes berkenaan, Meenakshi Raman; aktivis alam sekitar, Khoo Salma Nasution dan Zakaria.

Tambah Mageswari, antara perintah yang dipohon ialah satu deklarasi bahawa kebenaran merancang yang diberikan PLANMalaysia pada 21 Ogos 2023 adalah batal dan tidak sah kerana ia melanggar peruntukan-peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (APBD 1976).

Artikel Berkaitan:

Projek Pulau Silikon sedang giat dijalankan di kawasan selatan Pulau Pinang.
Projek Pulau Silikon sedang giat dijalankan di kawasan selatan Pulau Pinang.

"Selain itu, pemohon juga memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan pemberian kebenaran merancang kepada kerajaan Pulau Pinang untuk memulakan kerja-kerja penambakan bagi projek PSI di daerah Barat Daya.

"Pemohon juga meminta satu perintah agar kerajaan negeri dan SRS Consortium Sdn Bhd dengan segera memulihkan sebarang kerosakan kepada kawasan di mana kerja-kerja penambakan telah bermula dan disiapkan untuk Pulau A atau/dan Projek PSI kepada keadaan asal serta tidak tercemar seperti sebelum bermulanya kerja-kerja penambakan tersebut," katanya.

Ujarnya lagi, pemohon juga memohon semua responden membayar ganti rugi kepada semua nelayan yang diwakili berikutan kehilangan pendapatan mereka yang mana, ia akan ditaksirkan oleh mahkamah nanti.

Mengulas lanjut berhubung isu tersebut, Zakaria berkata, sejak projek tambak Pulau Silikon dimulakan di kawasan selatan Pulau Pinang pada 1 September tahun lalu, tangkapan udang mengalami penurunan ketara iaitu sebanyak 50 peratus.

"Secara khususnya, purata tangkapan udang pada suku keempat 2021 dan 2022 ialah 185.65 kilogram (kg). Bagaimanapun, dalam tempoh sama pada 2023, angka ini menjunam kepada purata 92.7kg.

"Penurunan ini lebih ketara menjelang Tahun Baharu Cina baru-baru ini. Pada Januari 2021 menyaksikan tangkapan sebanyak 191.22kg dan meningkat kepada 284.54kg pada 2022.

"Kenaikan berlaku pada Januari tahun lalu dengan 286.04kg. Bagaimanapun, pada tahun ini, tangkapan menurun secara drastik iaitu hanya 120.91kg iaitu penurunan sebanyak 57.73 peratus," katanya.

Dalam pada itu, Mageswari menambah, antara alasan lain pemohon memohon semakan kehakiman ialah responden-responden didakwa gagal mematuhi beberapa peruntukan di dalam APBD 1976.

"Responden didakwa gagal mendapatkan nasihat daripada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) sebelum Draf Rancangan Struktur Pulau Pinang 2030 (DRSNPP 2030) diluluskan oleh Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang (JPN Pulau Pinang).

"Selain itu, mereka juga didakwa gagal mendapatkan nasihat daripada MPFN apabila permohonan kebenaran merancang diserahkan oleh kerajaan Pulau Pinang," katanya.

Sebelum ini, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek Pulau Silikon telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada 21 Julai tahun lalu.

Kelulusan itu adalah susulan daripada kelulusan Laporan Kajian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek PSI yang telah diluluskan JAS Pusat melalui surat bertarikh 11 April 2023.

JAS telah meluluskan Laporan EIA bagi Projek PSI dengan berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Mei tahun lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dalam PSI seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Selain Pulau B, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.