Siasatan pesawat terhempas tiada kotak hitam dirujuk CAAM - KPN

Razarudin dalam sidang akhbar pada Rabu.
Razarudin dalam sidang akhbar pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Siasatan berhubung dakwaan pesawat terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar pada Selasa tidak dilengkapi kotak hitam dan alat komunikasi akan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan yang dijalankan polis ketika ini lebih menjurus kepada perkara lain yang berkaitan kemalangan.

"Isu teknikal adalah di bawah siasatan CAAM, mereka yang akan uruskan sama ada (kotak hitam) itu ada atau tidak, semuanya berdasarkan siasatan CAAM.

"Di pihak polis, kita jalankan siasatan atas kemalangan yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan kes itu masih berjalan dan pihaknya akan bekerjasama dengan CAAM menjalankan siasatan secara terperinci nahas udara berkenaan.

"Siasatan kemalangan kita akan jalankan. CAAM pun akan buat siasatan sama atas kemalangan ini," katanya.

Media melaporkan, pesawat ringan model BK 160 Gabriel itu dikatakan tidak mempunyai kotak hitam.

Perkara itu didedahkan seorang pegawai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dengan pesawat juga ‘kosong’ tanpa kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) serta kelengkapan sistem kedudukan global (GPS).

Artikel Berkaitan:

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang jam 1.28 petang pada Selasa bagi penerbangan rekreasi dengan hubungan terakhir dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada jam 1.35 tengah hari.

Nahas yang berlaku telah mengorbankan dua mangsa iaitu juruterbang dan penumpang dikenali Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dan Roshaan Singh Raina, 43.

Jasad mangsa ditemukan berada dalam kokpit pesawat pada kedalaman 1.52 meter dalam tanah dengan mangsa pertama dikeluarkan pada jam 7.06 malam disusuli mangsa kedua 11 minit kemudian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!