Peniaga, dua wanita Thailand didakwa edar dadah, miliki pistol
MELAKA - Seorang peniaga lelaki bersama dua wanita warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan mengedar dan memiliki dadah serta memiliki sepucuk pistol.
Tertuduh, Ong Kee Teck, 37, dan wanita warga Thailand, Maneerat Pariwat, 24, serta Promporn Thanadchangsaeng, 25, mengangguk faham selepas enam pertuduhan dadah terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hasni.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh dalam mencapai niat bersama didapati mengedar cecair mengandungi dadah jenis ketamin anggaran isipadu 286,255 mililiter (ml), Nimetazepam berat kasar 551 gram, serbuk dadah MDMA (1,124 gram), ketamin (5,569 gram) dan campuran serbuk ketamin (6,415 gram).
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan TS4, Taman Saga Bertam Malim di sini, kira-kira jam 8.15 malam pada 27 Januari lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Mereka turut didakwa memiliki dadah jenis MDMA dalam bentuk pil berat kasar 26 gram di lokasi dan masa sama.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama dan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan dikenakan tidak kurang tiga sebatan atau tidak lebih sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sementara itu dalam prosiding Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah memiliki sepucuk pistol di lokasi dan waktu sama.
Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah mempunyai dalam milikan satu pucuk pistol jenis CZ 85 B Cal.9 luger tanpa kebenaran yang sah.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga tidak kurang enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar dan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Mak Kah Keong.
Mahkamah menetapkan 4 April depan bagi sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!