Polis rampas bungkusan air ketum, peralatan memproses
KOTA BHARU - Polis merampas 166 liter air ketum di Batu Mengkebang, Kuala Krai pada 8 Februari lalu.
Dalam serbuan jam 4.45 petang itu turut merampas tiga kilogram daun ketum bernilai RM30.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, menerusi serbuan itu pihaknya menahan lapan lelaki berumur diantara 21 hingga 40 tahun yang sedang berkumpul di sebuah rumah di kawasan Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT).
"Kami berjaya merampas sebungkus air ketum anggaran satu liter termasuk satu tong mengandungi 30 bungkus plastik berisi air ketum anggaran berat 30 liter," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut telah dibuat di sebuah rumah berdekatan dan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun.
Ujarnya, hasil soal siasat keatas suspek terbabit telah membawa polis ke sebuah rumah yang belum siap.
Muhamad Zaki memberitahu, pihaknya telah menemui dua buah tong mengandungi 35 dan 100 bungkus air ketum.
"Kami turut menemui tiga kilogram daun ketum serta alat pemprosesan bahan terbabit seperti tong gas, periuk aluminium, penimbang dan dua unit dapur masak.
"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM2,690.
"Hasil ujian air kencing mendapati lima daripada suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan dua lagi benzo," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!