Ketua Pemuda UMNO digesa mohon maaf kepada Kor Ming
RAUB - Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membuat permohonan maaf terhadap Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Ia susulan isu cadangan Kor Ming yang mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Menurut Yu Hui, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga perlu bertindak terhadap Akmal kerana kenyataannya mengenai tawaran 'pembelajaran sejarah' kepada Kor Ming telah merosakkan hubungan kerjasama antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.
"UMNO tidak sepatutnya menimbulkan sentimen negatif terhadap cadangan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan dalam isu ini.
"Tuduhan UMNO bahawa permohonan ini akan menggugat kedudukan bumiputera adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujarnya, tapak warisan UNESCO adalah tempat-tempat yang diiktiraf oleh UNESCO dan dilindungi oleh negara-negara sedunia.
Beliau juga mempersoalkan pemimpin-pemimpin UMNO bahawa Georgetown di Pulau Pinang dan Melaka telah pun disenaraikan sebagai Tapak UNESCO.
"Tetapi adakah hak istimewa bumiputera dan hubungan antara kaum di kawasan ini terjejas?
"Tambahan pula, tidak lupa Kor Ming juga menyambut baik cadangan untuk memohon kampung Melayu yang memenuhi syarat sebagai Tapak UNESCO, supaya menunjukkan semangat kepelbagaian Malaysia. Justeru, dakwaan UMNO adalah tidak berasas sekali," katanya.
Jelasnya, Kampung Baru Cina mempunyai sejarah berpuluh-puluh tahun di Malaysia dan mempunyai keunikan dan keindahan yang tersendiri.
Tambah Yu Hui, permohonan untuk menjadikannya sebagai Tapak UNESCO akan melindungi warisan budaya dan bangunan bersejarah serta memajukan industri pelancongan.
"Pemimpin UMNO tidak sepatutnya menjadikan semakin konservatif seperti Perikatan Nasional (PN), tindakan demikian tidak akan dapat menarik golongan pengundi yang menyokong agenda PN, maka akan menyebabkan kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu terhadap UMNO.
"Tidak wajar lupa bahawa pengundi di Kampung Baru Cina telah memberikan sokongan sebanyak 95 peratus kepada UMNO dan menyumbang kepada kemenangan UMNO dalam pilihan raya kecil DUN Pelangai pada tahun lepas," ujarnya.
Dalam pada itu, Yu Hui menekankan bahawa cadangan itu tidak akan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak UNESCO secara automatik kerana permohonan ini akan diteliti oleh UNESCO.
"Jika permohonan ini diluluskan, ia membuktikan nilai sejarah yang penting dan UMNO tidak perlu menentangnya dengan keras.
"Akhirnya, saya ingin menekankan sekali lagi kepentingan nilai kepelbagaian sebagai arah utama Kerajaan Madani dan menyeru agar UMNO mengelak daripada politik perkauman," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!