Gaduh Bukit Bintang: Empat pekerja restoran didenda RM1,000
KUALA LUMPUR - Seramai empat pekerja sebuah restoran makanan segera yang tular dalam kejadian pergaduhan di Jalan Bukit Bintang minggu lalu, didenda masing-masing RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Majistret MS Arunjothy menjatuhi semua tertuduh, Mohamad Raziman, Muhammad Nur Hafizuddin Ahmad Kasim, Adil Idham Kassim dan Mohamad Taufiq Muhammad Azman selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara sebulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh yang berusia 21 tahun bersama enam lagi individu yang masih bebas, telah berhimpun untuk bergaduh dan melakukan kekerasan serta keganasan.
Kesalahan didakwa dilakukan di restoran makanan segera itu, pada jam 8.20 malam, 4 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Ashraf Fahmi Abdul Aziz yang mewakili kesemua tertuduh merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggungkeluarga.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafiezah Mohamed Fauzi mencadangkan semua tertuduh ini dikenakan hukuman setimpal.
Sementara itu, dalam prosiding sama, seorang lagi tertuduh, Obaidullah Mohseni, 32, yang merupakan warga Afghanistan, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Obaidullah yang tidak diwakili peguam, tidak dibenarkan untuk diikat jamin dan mahkamah menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan, sekumpulan lelaki tempatan dan seorang lagi lelaki warga asing ditangkap berhubung kejadian pergaduhan di lokasi kejadian, sebelum rakaman video berdurasi 16 saat, tular di aplikasi X.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!