Bekas kru kabin tuntut Singapore Airlines bayar ganti rugi RM5.9 juta
SINGAPURA - Seorang bekas kru kabin menuntut ganti rugi lebih S$1.7 juta (RM5.9 juta) daripada Singapore Airlines (SIA) selepas mendakwa tergelincir pada tampalan gris dan terjatuh ketika berada dalam satu daripada pesawat itu.
Durairaj Santiran, 36, seorang warga Malaysia yang bekerja dengan SIA dari April 2016 hingga April 2021 mendakwa bekas majikannya cuai kerana membenarkan tempat kerja menjadi kawasan tidak selamat.
Semasa kejadian, dia sedang bertugas sebagai pramugara dalam pesawat A350 ketika penerbangan kira-kira 17 jam dari San Francisco yang dijadualkan mendarat di Singapura pada petang 6 September 2019.
Kira-kira dua jam setengah jam sebelum mendarat, dia tergelincir pada tampalan gris dan jatuh terlentang sehingga menyebabkan kepalanya terhantuk di atas lantai.
Akibat insiden tersebut, Durairaj mengalami kecederaan pada tulang belakang dan menyebabkan dia dari segi perubatan tidak layak untuk terus bekerja sebagai pramugara penerbangan.
Susulan itu, Durairaj menuntut ganti rugi S$1.29 juta (kira-kira RM4.6 juta) untuk kehilangan pendapatan masa depan, S$30,000 (kira-kira RM106,174) untuk kehilangan kapasiti pendapatan dan S$150,000 (kira-kira RM531,070) untuk perbelanjaan perubatan serta pengangkutan masa depan.
Dalam kesnya, syarikat penerbangan nasional itu gagal menyediakan sistem kerja dan tempat yang selamat untuk bekerja serta gagal menangani dengan secukupnya kehadiran tompokan gris, sekali gus menyebabkan kawasan itu menjadi tidak selamat.
“Sekiranya penjagaan yang munasabah dilakukan, tampalan gris itu akan dialihkan atau langkah sedemikian diambil untuk menghalang akses ke lokasi yang tidak selamat.
“Fakta bahawa defendan tidak mengambil sebarang langkah pencegahan menunjukkan kecuaian defendan kerana sistem kerja tidak mencukupi dan tempat kerja dibiarkan tidak selamat,” kata peguam Durairaj dalam kenyataan pembukaannya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!