KDN pantau reaksi berlebihan isu Enakmen Syariah Kelantan

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu. - Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan pemantauan berterusan terhadap reaksi awam berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemantauan itu antaranya bagi perkara yang berpotensi menyumbang kepada situasi ketidaktenteraman awam.

"Jika KDN dan polis mengesan reaksi berlebihan dan menerima aduan, (polis) melalui Pasukan Khas 3R khusus bagi menangani isu berkaitan penghinaan terhadap institusi diraja, agama dan bangsa akan segera siasat dan lengkapkan kertas siasatan dalam masa tujuh hari, sebelum diserah kepada Pejabat Peguam Negara.

"Pemantauan secara berterusan akan dilakukan (terhadap elemen yang menyumbang kepada ketidaktenteraman awam), bukan istimewa untuk insiden ini sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Rabu.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini dalam keputusan majoriti 8-1 memutuskan bahawa 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan meliputi kesalahan sama.

Saifuddin Nasution menegaskan keputusan Mahkamah Persekutuan itu sama sekali tidak mencabar Islam atau menggugat peranan Mahkamah Syariah di negara ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, satu sesi libat urus bagi membincangkan mengenai Seksyen 4 Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 diadakan hari ini bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Digital Gobind Singh Deo serta aktivis.

"Buat masa sekarang, kita masih lagi memantau semua perkara, ketidakbolehan kita untuk melaksanakan atau mengguna pakai seksyen terbabit ekoran keputusan mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"(Sama ada) ia memberikan disadvantages (kelemahan) kepada polis dan sebagainya, data-data itu akan dibentangkan, dari situ kita dapat membuat satu kesimpulan dan mengambil langkah ke hadapan,” katanya.

Pada April 2022, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa keseluruhan Seksyen 4 POCA 1959 adalah tidak berperlembagaan dan menasihatkan agar semua tangkapan yang dibuat Polis Diraja Malaysia di bawah akta berkenaan ditangguhkan sehingga suatu tempoh yang akan dimaklumkan kelak. - Bernama