Proses tuntutan mayat nahas pesawat ringan selesai
KLANG - Mayat dua mangsa tragedi pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar dekat sini pada Selasa selesai dituntut oleh waris keluarga masing-masing pada Rabu.
Mayat mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini kira-kira jam 6.05 petang untuk urusan selanjutnya.
Terdahulu, mayat mendiang Roshaan Singh Raina, 43, dibawa keluar dari HTAR dengan menggunakan kenderaan pengurusan jenazah milik syarikat swasta kira-kira jam 3.00 petang.
Difahamkan mayat Daniel akan diuruskan pihak pengurusan jenazah yang beroperasi di Sungai Besi di Selangor manakala mayat Roshaan dibawa ke kediaman keluarganya di Johor Bahru.
Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao yang ditemui berkata, siasatan pihak polis melibatkan bedah siasat dan pengecaman mayat dua mangsa telah selesai dijalankan pada tengah hari.
Menurutnya, juruterbang dan pembantu juruterbang pesawat ringan model BK 160 Gabriel Yang terhempas itu juga disahkan adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan Singh Raina, 43.
"Hasil bedah siasat juga mendapati punca kematian adalah daripada pelbagai kecederaan akibat pesawat terhempas dan hasil pemeriksaan cap jari terhadap dua mangsa (mengesahkan) mangsa adalah Daniel dan Roshaan.
"Punca nahas masih dalam siasatan BSKU jadi pihak polis akan menyerahkan mangsa kepada waris dalam masa terdekat selepas melalui beberapa prosedur pihak Jabatan Forensik," katanya ditemui pemberita selepas proses bedah siasat dan pengecaman mangsa di HTAR di sini selesai pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!