Pulau Pinang bergegar
GEORGETOWN - Warga sebuah kolej pergigian swasta di NB Tower di Jalan Bagan Luar, Butterworth di sini gempar apabila berlaku gegaran di bangunan tersebut pada jam 2.05 petang tadi.
Difahamkan, gegaran itu susulan daripada gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter yang melanda utara Sumatera, Indonesia.
Orang ramai termasuk pesakit yang mendapatkan rawatan di kolej pergigian yang berada dalam bangunan 21 tingkat itu bergegas keluar selepas merasai gegaran selama kira-kira 15 saat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.36 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba segera ke lokasi bagi memantau dan memeriksa bangunan berkenaan.
"Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Sehingga jam 4.20 petang, kami masih di lokasi bagi memantau keadaan.
"Bagaimanapun, pekerja dan pelajar kolej dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya kepada Sinar Harian.
Selain kolej berkenaan, bangunan yang terletak tidak jauh dari perairan Pulau Pinang itu turut menempatkan pejabat peguam dan pejabat Penang Port Sdn Bhd.
Sementara itu, seorang pekerja kolej, Siti Mariah Leman, 35, berkata, dia tidak menyedari gegaran tersebut sehingga rakannya memaklumkan mengenainya.
"Rakan saya beritahu ada gegaran selepas lihat ada barang di atas meja bergerak sedikit. Selepas itu baru saya merasainya dan kami segera turun untuk berkumpul.
"Kami hanya tahu terdapat gempa bumi kuat selepas pengurusan bangunan memaklumkannya. Syukur tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku," katanya.
Seorang pelajar yang enggan namanya disiarkan berkata, dia terasa gegaran ketika sedang menduduki peperiksaan di kolej berkenaan.
"Saya memang merasai gegaran tersebut dan rasa pening seperti hendak pitam. Ingatkan ia kesan tidak cukup tidur tetapi rupanya memang ada gegaran berlaku.
"Untuk keselamatan, kami semua keluar dari dewan peperiksaan dan pihak kolej menangguhkan peperiksaan tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!