Pengepungan Israel di Hospital Nasser cetus kebimbangan
KUALA LUMPUR - Doctors Without Borders (MSF) menyuarakan kebimbangan terhadap situasi terkini di Hospital Nasser di Khan Younis ketika tentera Israel terus melakukan pengepungan dan pengeboman.
Menerusi hantaran di paltform X, organisasi itu menggesa tentera Israel memastikan keselamatan semua kakitangan perubatan, pesakit dan mereka yang hilang tempat tinggal.
"Hari ini, Israel mengarahkan mereka yang berlindung di dalam Hospital Nasser (hospital terbesar di selatan Gaza) untuk berpindah.
"Kakitangan perubatan dan pesakit diberitahu bahawa mereka dibenarkan tinggal di hospital dengan had seorang penjaga bagi setiap pesakit," menurut MSF.
Orang ramai bimbang untuk meninggalkan hospital kerana takut ditembak. Mereka yang berhasrat untuk keluar mesti diberi jaminan keselamatan.
Kementerian Kesihatan di Gaza mengesahkan bahawa beberapa rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel ketika cuba keluar dari hospital semalam.
Pada Ahad, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi platform X berkata:
"Kami amat bimbang mengenai keselamatan pesakit dan kakitangan kesihatan disebabkan peningkatan pergolakan di sekitar hospital. Kami mengulangi gesaan agar kakitangan kesihatan MESTI dilindungi setiap masa." - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!