Nahas pesawat: Mayat Roshaan tiba ke kediaman keluarga
ISKANDAR PUTERI - Mayat mangsa tragedi pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Roshaan Singh Raina, 43, selamat tiba di kediaman keluarganya di Sunway Bukit Lenang, di sini pada malam Rabu.
Jasad mendiang yang dibawa dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire milik syarikat Sai Sivam Casket Sevices dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang tiba pada jam 9.50 malam.
Upacara ziarah dan penghormatan terakhir terhadap mendiang akan diadakan di rumahnya mulai jam 10 pagi Khamis sebelum dibawa ke krematorium di Jalan Kebun Teh di sini pada 12 tengah hari.
Sementara itu, keluarga mendiang menerusi satu pengumuman memaklumkan mereka amat berdukacita dengan pemergian Roshan.
Ibu bapa serta dua beradiknya juga menzahirkan perasan rindu terhadap mendiang.
Dalam kejadian pada jam 1.30 petang Selasa, juruterbang dan pembantu juruterbang,
Daniel Yee Hsiang Khoon, 30, dan Roshaan maut selepas pesawat ringan model BK 160 Gabriel dinaiki mereka terhempas di Kampung Tok Muda.
Punca nahas masih dalam siasatan dan pihak polis menyerahkan mayat kepada waris mereka di Johor dan Pulau Pinang selepas melalui beberapa prosedur pihak jabatan forensik.
Terdahulu beberapa rakaman video tular memaparkan bangkai pesawat terhempas di sebuah kawasan kebun dimuat naik beberapa individu dalam media sosial.
Berdasarkan video berkenaan, saksi mendakwa pesawat malang itu berkecai di udara sebelum jatuh terhempas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!