Beras Madani: Penetapan harga RM30 dapat bantu pesawah
SHAH ALAM - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) menyambut baik usaha kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 untuk berat 10 kilogram (kg) sekampit berkuat kuasa 19 Februari ini.
Pengerusinya, Muhamad Fuad Yacob berkata, walaupun harga beras itu lebih RM4 berbanding harga beras putih tempatan, namun usaha kerajaan itu seharusnya disokong semua pihak.
“Ini bermakna ia dapat menyelesaikan kemelut ketiadaan beras tempatan dan kenaikan mendadak harga beras import yang berlaku sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Muhamad Fuad memberitahu, penetapan satu harga itu adalah langkah terbaik terutama dalam keadaan ekonomi dunia dan kesan fenomena El Nino terhadap negara pengeluar beras import.
“Saya percaya harga RM30 bagi beras 10kg ini tidak akan memberi beban tambahan kepada rakyat,” jelas beliau.
Muhamad Fuad juga berharap penetapan harga beras itu akan mendorong persaingan dalam industri padi dan membantu pesawah mendapatkan harga lebih baik.
Bagaimanapun, beliau berharap aspek penguatkuasaan efektif dapat dilaksanakan bagi memastikan setiap pengilang mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.
“Kalau penguatkuasaan lemah, buatlah peraturan apa pun dia tak akan berlaku sepertimana yang kita semua harapkan,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!