Penduduk Gaza mahu pindah ke mana lagi?
KHAN YUNIS - Kira-kira 1.4 juta penduduk Palestin yang berlindung di kawasan berkeluasan 64 kilometer persegi di bahagian paling selatan Genting Gaza semakin buntu kerana tiada lagi lokasi selamat untuk dituju.
Susulan kempen pengeboman yang semakin diperhebatkan rejim Zionis ke atas wilayah terkepung berkenaan sejak akhir minggu lalu, ratusan penduduk Palestin sekali lagi nekad menggadai nyawa meninggalkan bandar Rafah tersebut.
Desakan komuniti antarabangsa sekali lagi tidak dihiraukan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Malah, pemimpin ekstremis tersebut merancang pula serangan darat di kawasan bersempadan dengan Mesir itu.
Ancaman yang semakin meningkat menyebabkan kumpulan penduduk Palestin bersama keluarga masing-masing berpindah dari selatan ke tengah Gaza.
Sebelum ini, Rafah sesak dengan ratusan ribu penduduk Palestin yang melarikan diri dari utara dan tengah Gaza selepas Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengisytiharkan kawasan itu kononnya sebagai 'zon selamat'.
Namun, bahagian kecil itu terus dihujani bom tanpa henti selepas peperangan sengit tersebut kini memasuki bulan kelima.
Rawaa Abu Dayya yang terpaksa berpindah-randah sebanyak tujuh kali sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu terpaksa meninggalkan Rafah.
“Kami sentiasa hidup dalam ketakutan. Tiada lagi tempat selamat di sini.
“Perkara paling ditakuti adalah jika kehilangan ahli keluarga yang sangat disayangi,” ujarnya yang sebelum ini menetap di Beit Lahiya di utara Gaza dan kini mendirikan khemah sementara di Deir el-Balah di tengah Gaza.
Ketika ini, kebanyakan penduduk Palestin di enklaf itu juga semakin terdesak kerana kekurangan bekalan asas, air bersih, makanan dan ubat-ubatan selain penularan penyakit berjangkit terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Beberapa pemimpin dan agensi antarabangsa turut menzahirkan kebimbangan terhadap kempen pencerobohan ke atas Rafah yang dikhuatiri akan memburukkan lagi malapetaka kemanusiaan di enklaf tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!