[VIDEO] Penternak terkejut kambing tinggal rangka, syak dibaham harimau

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang penternak runsing memikirkan kejadian menimpa seekor kambingnya yang ditemukan mati dalam keadaan mengerikan dengan rangka haiwan itu tersangkut di tepi kandang berdekatan rumahnya di Kampung Gelong Nibong, Teluk Pasu, di sini.

Syed Mohd Tuan Basin, 47, berkata, dia mengesyaki kambing jantan peliharaannya berusia hampir setahun itu dimakan harimau kumbang ketika berada di dalam kandang terletak bersebelahan kediamannya pada 29 Januari lalu.

Menurutnya, telahan itu dikuatkan lagi dengan penemuan tapak kaki yang didakwa seakan kaki harimau bersebelahan kandang kambing berkenaan dan kelibat haiwan pemangsa itu dilihat berkeliaran berdekatan kampung oleh penduduk setempat.

Syed Mohd menunjukkan gambar rangka kambing yang disangkut pada kandang di sebelah rumahnya di Kampung Gelong Nibong, Teluk Pasu, Kuala Terengganu.
Syed Mohd menunjukkan gambar rangka kambing yang disangkut pada kandang di sebelah rumahnya di Kampung Gelong Nibong, Teluk Pasu, Kuala Terengganu.

"Saya sedar bangkai kambing itu tersangkut di tepi kandang sekitar jam 7 pagi keesokan harinya.

"Waktu jumpa tu kambing saya hanya tinggal rangka, bahagian badan telah dirobek dan habis dimakan dengan terdapat sedikit daging pada bahagian kaki.

"Kebetulan pada sebelah malam tu saya tiada di rumah kerana keluar bekerja memproses ayam di kilang ayam yang terletak berjauhan dari rumah, jadi saya tak tahu macam mana keadaan pada malam kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian petang Rabu.

Menurut Syed Mohd, keadaan menimpa kambingnya itu turut menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung yang bimbang untuk keluar rumah pada lewat petang dan sebelah malam.

Artikel Berkaitan:

Bekas tapak kaki dipercayai harimau kumbang ditemukan berdekatan kandang kambing.
Bekas tapak kaki dipercayai harimau kumbang ditemukan berdekatan kandang kambing.

"Lepas kejadian tu, ada anggota Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) datang periksa tempat ini tetapi tiada sebarang tindakan diambil lagi.

"Saya bimbang juga sebab ramai yang tanya apa tindakan pihak berwajib, sebab mereka di sini yakin kejadian tu berpunca daripada harimau kumbang sebab dah dua, tiga orang nampak kelibat haiwan tu," katanya yang memelihara 11 ekor lembu dan lapan kambing.

Sementara itu, jiran Syed Mohd, Hajar Syed Abdullah, 35, berkata, dia tidak mengesyaki kejadian berlaku berpunca daripada perbuatan khianat kerana pada malam kejadian terdapat bunyi salakan anjing yang kuat.

"Malam masa kejadian tu kami ada dengar bunyi salakan anjing yang agak luar biasa kuat.

"Kami tak mengesyaki apa-apa dan terkejut terjumpa bangkai kambing pada sebelah paginya.

"Ini kejadian pertama berlaku di kampung ini. Bila jadi macam ni kami memang bimbang.

"Bimbang keselamatan anak-anak yang balik dari mengaji malam-malam dan macam-macam lagi.

"Kalau boleh ada tindakan yang diambil kerana kampung ini sebenarnya tak jauh pun dari bandar.

"Rasa macam mustahil untuk harimau dekati kawasan ini, tapi bila ada beritahu nampak kelibat harimau, kami jadi takut, risau keselamatan anak-anak," ujarnya.

Seorang penduduk, Sharifah Zaharah Tuan Paloh, 66, pula mendakwa dia diberitahu ahli keluarganya yang ternampak kelibat harimau kumbang itu muncul kembali di kampung Kubang Jela, yang terletak bersebelahan Kampung Teluk Pasu pada Isnin lalu.

"Kita tak pasti sama ada harimau yang sama yang memakan kambing ini, mungkin juga yang sama sebab tempat yang sama ditemui oleh penduduk kampung sebelum ini.

"Bimbang jugalah kalau betul ada harimau di kawasan ni sebab kita selalu juga keluar rumah untuk buang sampah dan sebagainya.

"Sekarang ni semua ambil langkah berjaga-jagalah dan balik awal ke rumah sebelum senja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!