Siklon tropika Blake bawa hujan lebat di Australia Barat
SYDNEY - Siklon tropika Blake membawa hujan lebat ke Australia Barat hari ini bersama angin kencang sehingga 102 kilometer sejam hingga menyebabkan kemusnahan kecil.
Biro Meteorologi memaklumkan Blake telah membawa hujan 15 sentimeter dalam tempoh 24 jam di bandar Broome didiami 14,000 penduduk, namun tidak mengakibatkan kemusnahan seperti dijangka akibat ribut Kategori Dua.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Kecemasan memberitahu mereka menerima empat laporan kemusnahan termasuk insiden pokok tumbang menghempap sebuah kereta.
Blake adalah siklon tropika pertama pada musim ini yang menjadi ribut Kategori Satu semalam.
Terdahulu, pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk supaya bersedia menghadapi cuaca buruk itu dan membuat persediaan menyimpan bekalan makanan dan air minuman.
Difahamkan, siklon itu dijangka tidak memberi impak kepada kebakaran belukar dahsyat yang sedang melanda bahagian lain di Australia.
Bagaimanapun, ia didakwa boleh menurunkan suhu panas dan kering yang telah menyebabkan api marak dengan cepat. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!