Gaya baharu Ronaldo raikan gol
CRISTIANO Ronaldo telah menjaringkan gol pertamanya pada 2024 ketika menentang Al-Fayha dalam kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia di Riyadh pada Khamis.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Putera Faisal bin Fahd di Riyadh itu, bintang Portugal berusia 39 tahun bergelut pada mulanya untuk memacu Al-Nassr menentang kelab yang menduduki tangga ke-14 dalam Liga Pro Saudi.
Namun, dia berjaya memecahkan kebuntuan apabila bermain satu-dua dengan Marcelo Brozovic sebelum meledak voli melepasi Vladimir Stojkovic pada minit ke-81.
Bintang Portugal itu meraikan jaringannya dengan gaya baharu apabila berlari ke penjuru padang dan kemudiannya melompat sebelum meletakkan tangannya di dada.
Ia adalah sambutan berbeza daripada gaya sambutan yang sering dilakukannya dengan gerakan Siuuuu ikoniknya.
Perlawanan tersebut berakhir 1-0 memberikan kelebihan tipis kepada Al-Nassr menjelang perlawanan timbal balik di tempat sendiri yang berlangsung minggu depan untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!