OKU maut kereta bertembung lori
SUNGAI SIPUT - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di KM25.5, Jalan Ipoh - Kuala Kangsar berhampiran Rimba Panjang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, Suhaimi Abd Rahim, 51, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila kereta jenis Proton Saga yang dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan.
“Mangsa memandu dari arah Sungai Siput menuju ke Ipoh dipercayai hilang kawalan setibanya di tempat kejadian lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori.
“Akibat pertembungan itu, mangsa tersepit di tempat duduknya dan khidmat bomba dipanggil untuk membawa mangsa keluar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat.
“Pemandu lori dan kelindan masing-masing lelaki berusia 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!