Dakwaan tular Klinik Desa Bakar Batu usang, reput tidak tepat - JKNJ

Tangkap layar video tular berhubung Klinik Desa Bakar Batu.
Tangkap layar video tular berhubung Klinik Desa Bakar Batu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menjelaskan dakwaan tular di media sosial 'klinik atau rumah hantu' merujuk kepada Klinik Desa Bakar Batu adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Pengarahnya, Dr Mohktar Pungut @ Ahmad berkata, bangunan klinik telah dinaik taraf dan kuarters pula dikosongkan kerana tidak selamat diduduki.

"Untuk makluman Klinik Desa Bakar Batu telah mula beroperasi dari tahun 1969 sebagai Rumah Bidan Klinik dengan infrastruktur kayu di kawasan Kampung Bakar Batu, Johor Bahru dan kawasan sekitarnya.

"Bangunan Klinik Desa Bakar Batu ini merupakan bangunan bersambung antara bangunan klinik dan kuarters. Bangunan klinik ini telah dinaik taraf kepada bangunan batu pada tahun 2010.

"Bangunan kuarters pula telah dikosongkan bermula tahun 2011 akibat keadaan yang usang dan tidak selamat untuk diduduki," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam satu video tular berdurasi 1 minit 54 saat di TikTok memaparkan seorang lelaki yang mendakwa klinik yang usang dengan struktur papan kelihatan reput dan buruk terbabit seperti rumah hantu.

Lelaki terbabit turut mendakwa keadaan klinik itu tidak mendapat perhatian wakil rakyat dan pihak berkaitan.

Jelas Mohtar, Pihak Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru telah mengemukakan permohonan kelulusan syor roboh dan bina baru kuarters klinik tersebut kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

Katanya, perakuan pelupusan bangunan terbabit telah diluluskan oleh KKM pada tahun lalu.

"Dakwaan pemilik akaun sosial media sosial TikTok yang berkaitan bangunan Klinik Desa Bakar Batu adalah mengelirukan.

"Susulan kelulusan pelupusan tersebut, JKNJ telah menyenaraikan permohonan projek roboh dan bina baru melibatkan kuarters tersebut ini di bawah Rolling Plan 4 ke Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan (BPKj) KKM.

"Kerja-kerja roboh dan bina baru kuarters tersebut ini akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan dan pengesahan peruntukan pada tahun ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!