Kastam rampas 42,000kg beras hancur diseludup dari negara jiran
ALOR SETAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan kegiatan sindiket dalam aktiviti penyeludupan beras hancur seberat 42,000 kilogram (kg) dari negara jiran di Pokok Sena pada 6 Februari lepas.
Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, sepasukan anggota dari Cawangan Penguatkuasaan Alor Setar menerima maklumat daripada orang awam dan berjaya mengesan serta mengekori sebuah treler dengan nombor pendaftaran tempatan untuk menyeludup beras ke Malaysia.
"Treler berkenaan memasuki negara dari Thailand melalui pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Durian Burung pada 6 Februari dan mengikrarkan sebagai tidak bermuatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, anggota penguat kuasa telah mengekori treler berkenaan sebelum menahan kenderaan itu di tepi jalan di Pokok Sena manakala pemandunya melarikan diri dan gagal diberkas.
"Hasil pemeriksaan...ditemukan sejumlah 840 beg guni berisi beras hancur seberat 42,000kg.
"Anggaran nilai rampasan berjumlah RM105,000," katanya menambah beras hancur tersebut dipercayai untuk dicampur dengan beras tempatan atau beras yang diimport bagi mengaut keuntungan lebih. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!