CEO syarikat emas tipu disamun demi insurans
BUKIT MERTAJAM - Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat jual beli emas dan pemandunya ditahan selepas disyaki membuat laporan palsu mereka disamun melibatkan kerugian lebih RM1 juta pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, suspek ialah CEO sebuah syarikat jual beli emas di Batu Pahat, Johor, mendakwa, barang kemas seberat 2864.99 gram bernilai RM601,647.90 dan wang tunai kira-kira RM418,000 disamun.
Beliau berkata, kedua-duanya ditahan selepas laporan mereka disamun seorang lelaki menunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Bandar Perda didapati palsu.
Menurutnya, dalam laporan itu suspek berusia 26 tahun menyatakan dia bersama pemandunya berusia 30 tahun keluar dari sebuah kedai emas di sini dengan kereta jenis Mercedez-Benz putih pada jam 3.50 petang, Sabtu lalu.
"Suspek membawa beg galas berisi wang tunai kira-kira RM418,000 dan barang kemas seberat 2864.99 gram bernilai RM601,647.90.
"Mereka singgah di sebuah stesen minyak kerana ingin membeli minuman, namun didakwa disamun seorang lelaki di premis itu.
"Ketika itu, hanya pemandunya keluar untuk membeli minuman manakala suspek menunggu di dalam kereta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek mendakwa terdengar bunyi pintu bahagian belakang dibuka dan ternampak seorang lelaki yang menutup muka mengambil dan membawa lari beg galas dengan motosikal.
"Suspek mendakwa, beg tersebut mengandungi wang tunai berjumlah RM418,000 dan pelbagai barang kemas bernilai lebih RM600,00.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati kenyataan suspek meragukan dan polis menahan kedua-duanya untuk siasatan," katanya.
Menurutnya, siasatan juga mendapati suspek membuat laporan palsu dan berpakat dengan pemandu serta dua lagi rakan yang bertindak sebagai penasihat serta penyamun kerana mahu membuat tuntutan insurans.
Katanya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak tersebut, ada berlaku kejadian samun seperti yang didakwa.
Bagaimanapun katanya, siasatan polis mendapati ia adalah lakonan bagi membolehkan kejadian itu dirakam CCTV stesen minyak tersebut selain untuk meyakinkan pihak polis.
"Beg yang kononnya mengandungi pelbagai barangan kemas seberat 2.86 kilogram serta wang tunai itu sebenarnya berisi batu.
"Beg itu dibuang dalam longkang di kawasan berhampiran oleh lelaki yang berlakon sebagai penyamun.
"Susulan itu, kita menahan dua lelaki berusia 23 dan 51 tahun kerana didapati bersubahat," katanya.
Nik Ros Azhan berkata, keempat-empat suspek direman enam hari bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu membuat laporan polis palsu yang boleh dihukum enam bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika bersalah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!