MyIPO tawar hadiah lebih RM130,000 sempena AHIN 2024

Mohd Zuhan (dua dari kiri) memperkenalkan piala yang bakal dibawa pulang oleh para peserta bagi Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN 2024).
Mohd Zuhan (dua dari kiri) memperkenalkan piala yang bakal dibawa pulang oleh para peserta bagi Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN 2024).
A
A
A

PETALING JAYA - Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bakal mengadakan Anugerah Harta Intelek Negara 2024 (AHIN 2024) dengan nilai keseluruhan hadiah wang tunai lebih RM130,000 untuk dimenangi.

Pengerusinya, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, majlis berkenaan akan diadakan pada 24 April depan sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara 2024 (HHIN2024).

Menurutnya, acara yang bertemakan ‘Harta Intelek Nadi Malaysia Madani’ itu merupakan platform penting memupuk kesedaran akan kepentingan perlindungan harta intelek yang dilihat sebagai satu bentuk kekayaan baharu dalam menjana ekonomi negara.

“Di samping itu, penganjuran AHIN untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan pereka cipta, pencipta, inovator dalam pembangunan harta intelek serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Terdapat lima kategori anugerah yang dipertandingkan pada tahun ini, termasuk Anugerah Teknologi Hijau, Anugerah Karya Lestari, Anugerah Milenial, dan Anugerah Permata,” katanya ketika majlis ramah mesra bersama media di ibu pejabat MylPO pada Khamis.

Menurutnya, bagi Anugerah Platinum di bawah kategori Pembangunan Lestari Harta Intelek merupakan anugerah tertinggi diberikan kepada organisasi yang menunjukkan pengurusan harta intelek baik dan bertanggungjawab.

Sementara itu, beliau memaklumkan, Anugerah Teknologi Hijau diberikan kepada mereka yang memiliki harta intelek menarik, kreatif dan menyumbang kepada teknologi hijau serta alam sekitar.

Mengulas mengenai Anugerah Karya Lestari, Mohd Zuhan memberitahu, ia merupakan pengiktirafan kepada pemilik harta intelek sama ada cap dagangan, hak cipta, reka bentuk perindustrian dan paten yang mempromosikan kelestarian inovasi serta kreativiti.

Artikel Berkaitan:

“Anugerah Milenial terbuka kepada pelajar institusi kemahiran dan setaraf di Malaysia yang memiliki reka cipta asli, menarik, kreatif dan mempunyai nilai komersial.

“Seterusnya, Anugerah Permata pula terbuka kepada murid sekolah menengah termasuk pelajar kolej vokasional yang memiliki reka cipta asli, menarik, kreatif, memberi faedah kepada masyarakat atau negara serta mempunyai nilai komersial,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Zuhan berkata, penyertaan masih lagi dibuka sehingga 29 Februari dan MyIPO mengalu-alukan penyertaan daripada semua pemilik harta intelek termasuk individu dan organisasi serta institusi pendidikan.

Tambahnya, MyIPO akan kekal aktif melaksanakan program promosi dan kesedaran dalam menyebarluaskan maklumat bagi memastikan setiap golongan mengetahui tentang perkhidmatan dan ditawarkan.

“Pihak perbadanan telah menerima sebanyak 61,484 permohonan harta intelek pada tahun 2023.

“Saya yakin angka ini akan terus menunjukkan peningkatan kerana ia merupakan hasil daripada program-program berterusan yang dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat akan kepentingan perlindungan harta intelek,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!