Awan asap tebal merebak ke Chile dan Argentina

Gambar satelit pada 3 Januari lalu menunjukkan asap tebal dicetuskan kebakaran belukar dahsyat di Australia dikesan di seberang Lautan Pasifik.
Gambar satelit pada 3 Januari lalu menunjukkan asap tebal dicetuskan kebakaran belukar dahsyat di Australia dikesan di seberang Lautan Pasifik.
A
A
A

SANTIAGO - Awan asap tebal disebabkan kebakaran belukar dahsyat di Australia kini dikesan di kawasan terletak sejauh 12,000 kilometer di Chile dan Argentina.

Semalam, pihak berkuasa cuaca di negara Amerika Selatan tersebut memaklumkan awan asap terbabit telah meningkat kepada 6,000 meter dari paras laut, namun tidak mendatangkan sebarang bahaya kepada penduduk di Santiago.

Sementara itu, Perkhidmatan Meteorologi Argentina mengeluarkan imej satelit dan turut menjelaskan ia dibawa oleh sistem frontal yang bergerak dari barat ke timur.

Syarikat Meteorologi Metsul dalam satu kenyataan memberitahu awan asap itu juga dijangka boleh tiba di negeri Rio Grande del Sur di Brazil.

Dalam perkembangan berkaitan, hampir 2,000 kediaman musnah dalam kebakaran dahsyat yang berlarutan selama beberapa bulan di Australia.

Pihak berkuasa di New South Wales (NSW) memaklumkan kebakaran itu turut memusnahkan kira-kira 200 kediaman penduduk di Victoria dan lebih 100 di negeri lain.

Sementara itu, Majlis Insurans Australia menganggarkan kos tuntutan ganti rugi mencecah A$700 juta (RM1.9 bilion) dan angka itu dijangka meningkat dengan ketara.

Ketika ini, pasukan bomba mengambil peluang untuk mengawal kebakaran dan cuba menghalang api daripada teruk merebak selepas suhu mula menurun di tenggara Canberra sejak kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Suhu bagaimanapun diramalkan meningkat semula pada Jumaat ini dan dikhuatiri akan mencetuskan kebakaran lebih besar.

Kebakaran belukar itu telah meragut sekurang-kurangnya 25 nyawa dan mengorbankan hampir separuh bilion haiwan. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!